Sanusi tarik balik kenyataan fitnah bukti teras politik Sanusi ialah emosi, benci, dendam
Tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan teras politik Sanusi ialah emosi, kebencian dan dendam bukan fakta dan kebenaran.
“Tindakan ini bukan sekadar pengakuan senyap, tetapi bukti nyata bahawa segala tuduhan liar dan tohmahan yang pernah dilemparkan tidak berasas sama sekali. Ia juga mengesahkan bahawa selama ini, politik yang dibawa oleh Sanusi berteraskan emosi, kebencian, dan dendam, bukan berdasarkan kebenaran dan fakta,” kata Ketua AMK Kedah Fitri Ismail.
“Setelah sekian lama berlagak lantang di pentas politik, kini beliau sendiri terpaksa tunduk kepada hakikat bahawa fitnah tidak mampu menewaskan kebenaran. Ini bukan tanda keberanian, tetapi tanda kepura-puraan dalam politik.
“AMK Kedah menegaskan bahawa pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat tidak akan menggunakan lidahnya untuk memecah belahkan masyarakat atau menabur cerita palsu demi kepentingan politik peribadi.
“Rakyat sudah muak dengan sandiwara dan politik longkang yang memperbodohkan rakyat demi tepukan penyokong sendiri.”
Kelmarin, Sanusi menarik balik kenyataan – kenyataan fitnah, yang dibuatnya dua tahun lalu, secara terbuka tanpa syarat. Anwar pula menamatkan saman fitnah beliau terhadap Sanusi.
BACA JUGA: Sanusi tarik balik kenyataan fitnah, Anwar setuju tarik balik saman