Ini dia perjanjian besar dimeterai Malaysia-AS dalam perjanjian perdagangan timbal balik

Malaysia dan Amerika Syarikat hari ini telah menandatangani satu perjanjian menyeluruh mengenai perdagangan timbal balik bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.

Perjanjian ini akan memberi akses pasaran yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada pengeksport kedua-dua negara.

Ia juga mengukuhkan kerjasama yang telah terjalin sejak Perjanjian Rangka Perdagangan dan Pelaburan AS-Malaysia 2004.

Menurut kenyataan bersama kerajaan AS dan Malaysia yang dikeluarkan oleh White House, Malaysia akan memberikan akses pasaran bagi eksport barangan perindustrian dari AS.

Ini termasuklah bahan kimia, mesin, peralatan elektrik, logam, dan kenderaan penumpang.

Malaysia juga akan membuka pasaran bagi eksport pertanian AS seperti hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk proses, minuman, daging babi, beras, dan etanol bahan api.

Sebagai balasan, AS akan mengekalkan tarif timbal balik pada kadar 19 peratus ke atas barangan Malaysia, sementara sesetengah produk akan menikmati kadar tarif sifar peratus.

Perjanjian ini juga akan menangani halangan bukan tarif yang menjejaskan perdagangan dua hala dalam sektor perindustrian utama.

Malaysia berkomitmen menerima kenderaan buatan AS mengikut standard keselamatan dan pelepasan asap AS, mempermudah lesen import bagi produk keluli, menyelaras keperluan halal untuk kosmetik, farmaseutikal dan makanan, serta memperbaiki prosedur penilaian kesesuaian.

Perlindungan alam sekitar dan hak pekerja menjadi teras utama perjanjian ini.

Malaysia bersetuju menguatkuasakan standard alam sekitar yang tinggi, menangani pembalakan dan perikanan haram, serta meningkatkan tindakan terhadap barangan tiruan dan cetak rompak. 

Negara ini juga berkomitmen mencegah buruh paksa dan menangani buruh kanak-kanak dalam sektor berisiko tinggi.

Perdagangan digital, harta intelek dan perkhidmatan turut mendapat perhatian. 

Malaysia akan menahan cukai perkhidmatan digital yang mendiskriminasi, menyokong pemindahan data rentas sempadan, mengekalkan moratorium cukai kastam ke atas penghantaran elektronik, dan menghapuskan sekatan kandungan penyiaran AS.

Kedua-dua negara akan memperkukuh ketahanan rantaian bekalan, keselamatan pelaburan, dan kerjasama kawalan eksport.

Mineral kritikal dan unsur nadir bumi (rare earth elements)-penting untuk industri teknologi tinggi-akan tetap dibuka tanpa sekatan, dengan Malaysia menawarkan lesen operasi yang diperluaskan kepada syarikat AS dan memastikan bekalan magnet tanah jarang yang stabil.

Perjanjian ini bertepatan dengan beberapa urus niaga besar antara syarikat AS dan Malaysia, termasuk:

Perolehan 30 pesawat dengan opsyen pembelian tambahan 30 lagi; 

Pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data dengan nilai dianggarkan AS$150 bilion; 

Pembelian sehingga lima juta tan setahun gas asli cecair (LNG) bernilai sehingga AS$3.4 bilion setahun; 

Pembelian arang batu dan produk serta perkhidmatan telekomunikasi bernilai AS$204.10 juta; 

Dan pelaburan dana modal di AS sebanyak AS$70 bilion.

Kedua-dua kerajaan akan menyelesaikan formaliti domestik dalam beberapa minggu akan datang sebelum perjanjian ini mula berkuat kuasa

“Perjanjian ini merupakan pencapaian penting dalam hubungan AS-Malaysia,” kata jurucakap White House. 

“IIa mengukuhkan perdagangan, menyokong pekerjaan, mempertingkat keselamatan, dan membuka peluang baharu  perniagaan serta pengguna di kedua-dua negara”.

BACA JUGA Bersatu terus bergolak: ‘Rehatkan Mahiaddin, tukar setiausaha agung dan ketua penerangan’