Anwar, Trump dan Fattah al-Sisi
Apabila kita ingin menilai hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tokoh kontroversi dunia seperti Donald Trump. Ramai yang cepat menilai dari lensa moral semata-mata, namun diplomasi bukan gelanggang emosi. Ia medan di mana prinsip perlu berjalan di atas jalan realiti.
Sewaktu Anwar bersalaman dan berhubungan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, tiada suara bantahan, seolah kita lupa, Sisi adalah pengkhianat kepada revolusi Mesir, yang menjatuhkan Presiden sah, Dr. Mohamed Morsi, pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokratik selepas revolusi 2011.
Sisi juga menumpahkan darah ribuan rakyatnya di Rabaa al-Adawiyyah. Tragedi itu menjadi luka besar dalam sejarah dunia Islam moden, dan akhirnya membawa kepada kematian Morsi di dalam penjara.
Namun politik antarabangsa bergerak di atas kepentingan negara. Mesir adalah penjaga pintu Gaza. Tiada bantuan, ubat, atau roti yang boleh menembusi Gaza tanpa izin rejim Sisi.
Maka apabila Anwar mengekalkan hubungan baik dengan Mesir, sebagai langkah strategik untuk memastikan Malaysia masih punya laluan kemanusiaan ke Palestin. Prinsip tidak boleh mengalir tanpa saluran kuasa.
Anwar sendiri bukan asing dengan perjuangan Islamis. Hubungannya dengan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin sudah lama, malah beliau pernah dianggap sebahagian daripada generasi reformis Islam yang terinspirasi oleh gagasan Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb.
Dalam isu Palestin, simpati Anwar terhadap Hamas juga tidak pernah dirahsiakan. Tetapi apabila beliau kini menjadi Perdana Menteri, perjuangan moral itu perlu diterjemahkan dalam bentuk diplomasi. Dan diplomasi itu menuntut beliau bercakap dengan siapa sahaja, termasuk mereka yang tangannya pernah berlumuran darah.
Begitu juga dengan Trump. Walaupun Anwar pernah mengkritik dasar luar AS yang berat sebelah terhadap Israel, beliau tetap berhubung dengan pentadbiran Amerika dalam urusan pelaburan, perdagangan dan sekuriti serantau.
Hubungan dengan kuasa besar seperti AS tidak boleh diputuskan hanya kerana perbezaan moral; ia perlu diurus agar Malaysia kekal relevan dan berpengaruh dalam percaturan global. Dalam bahasa politik antarabangsa, itulah seni mengekalkan jarak moral tanpa memutuskan hubungan strategik.
Kekuatan Malaysia dalam dunia Islam bukan datang daripada kuasa military, tetapi kredibiliti moral dan keupayaan diplomasi. Malaysia boleh bercakap dengan Turkiye, Qatar, Mesir, dan bahkan AS, sesuatu yang tidak semua negara Muslim mampu lakukan.
Anwar memahami kelebihan ini, dan memilih untuk menjadi “jambatan”, bukan “benteng”. Dalam isu Gaza, beliau tidak menjerit di pentas kemarahan semata mata, tetapi menggerakkan suara diplomasi dunia Islam di platform rasmi.
Namun, itu tidak bermakna kita harus melupakan sejarah. Sisi tetap diktator yang menindas rakyatnya. Trump tetap wajah angkuh yang memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis.
Mengingatkan kezaliman mereka adalah tanggungjawab moral umat Islam, tetapi berinteraksi dengan mereka adalah tanggungjawab diplomatik sebuah kerajaan.
Dua hal ini nampak bertentangan, tetapi hakikatnya saling melengkapi dalam seni politik global yang rumit.
Akhirnya, hubungan Anwar dengan Sisi atau Trump adalah soal tanggungjawab. Pemimpin tidak boleh menutup pintu hanya kerana sejarah berdarah di sebaliknya.
Dalam dunia yang dikuasai kuasa besar, berhubung adalah strategi untuk terus berjuang dari dalam sistem. Dan di tengah kekejaman dunia, barangkali itulah cara paling bijak untuk memastikan keadilan masih punya ruang untuk bernafas.
BACA JUGA: Ini fakta menarik kereta perisai Presiden AS ‘The Beast’ yang dinaiki PMX