Sah Ustaz Julpikar calon PH dari AMANAH di Sulabayan
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Mijan sebagai calon bagi kerusi DUN N.64 Sulabayan, Semporna, mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 November ini.
Pengumuman dibuat sempena Konvensyen AMANAH Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, di Golden Hotel, Sembulan.
Dalam ucapannya, beliau menyeru jentera parti untuk memperkukuh gerak kerja dan strategi bagi memastikan AMANAH memperoleh kerusi pertama di Sabah, sambil menegaskan perjuangan parti mesti kekal berasaskan nilai, integriti dan kejujuran.
“PRN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat. AMANAH mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.
Beliau yakin dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, AMANAH mampu menawan hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri.
Calon yang diumumkan, Ustaz Mohd Julpikar, merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah & Undang-undang) dari UIN Suska Riau, Indonesia, dan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah serta NGO.
Antara pengiktirafan yang diterimanya termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.
Selain itu, beliau turut aktif sebagai usahawan pendidikan dan komuniti, menjadikannya antara figura muda yang berpotensi membawa gagasan politik nilai dan pembangunan masyarakat ke peringkat negeri.