Persidangan SHIFT 2025 mengukuhkan kerjasama serantau Asean dalam inovasi keselamatan jalan raya

FOTO BERITA: Majlis Perasmian SHIFT 2025 dan Majlis Penarafan Bintang ASEAN NCAP 2025 dirasmikan oleh YB Datuk Haji Hasbi Hj. Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di Ballroom, Bangi Resort Hotel, Bangi Selangor. 28 Oktober 2025 (Selasa)

Majlis Perasmian Safety and Holistic Innovation for Future Vehicles (SHIFT) 2025 serta Majlis Penarafan Bintang ASEAN New Car Assessment Program (ASEAN NCAP) 2025 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.

Persidangan antarabangsa yang berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober 2025 ini merupakan anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama ASEAN NCAP, mengangkat tema “Local Landscape, Global Standard.” SHIFT 2025 menjadi platform penting menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, akademia, industri automotif dan pakar keselamatan dari seluruh dunia bagi membincangkan hala tuju keselamatan jalan raya dan inovasi kenderaan masa depan di rantau ASEAN.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Haji Hasbi menegaskan bahawa kerajaan Malaysia sentiasa komited memperkukuh agenda keselamatan jalan raya sejajar dengan United Nations Decade of Action for Road Safety (2021–2030) dan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (2022–2030). Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada MIROS dan ASEAN NCAP atas usaha berterusan mempertingkat piawaian keselamatan kenderaan serta menggalakkan budaya pemanduan selamat di kalangan pengguna jalan raya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penarafan Bintang ASEAN NCAP 2025, yang mengiktiraf pengeluar kenderaan menunjukkan komitmen tinggi terhadap keselamatan pengguna jalan raya melalui pencapaian cemerlang dalam penilaian keselamatan ASEAN NCAP. Pengiktirafan ini menjadi simbol kejayaan rantau ASEAN dalam melahirkan kenderaan yang lebih selamat, inovatif dan berdaya saing di pasaran global.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Profesor Dr. Wong Shaw Voon, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS; Profesor Dr. Haslinda Yusoff, Penolong Naib Canselor Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM); serta Encik Wang Hao dari China Automotive Technology and Research Center (CATARC).

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pengarah MIROS, YBrs. Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak menegaskan bahawa keselamatan jalan raya mesti kekal sebagai keutamaan utama meskipun dunia automotif kini menuju ke arah elektrifikasi, automasi dan digitalisasi. “Keselamatan jalan raya tidak boleh dikompromi. Setiap inovasi mesti berpaksikan bukti, data dan tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa di jalan raya,” katanya.

Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIROS dan dua rakan strategik – UiTM serta CATARC. Kerjasama dengan UiTM memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti penyelidikan dan inovasi dalam bidang keselamatan jalan raya serta kenderaan pintar. Melalui MoU ini, MIROS akan memperkukuh penyelidikan berasaskan data, membangunkan tenaga pakar masa depan serta meneroka kaedah pengesahan baharu dalam bidang mobiliti selamat dan pintar.

Dua inovasi utama turut diperkenalkan semasa SHIFT 2025 iaitu, ASEAN Motorcycle Target (AMT) – alat ujian berteknologi tinggi yang mensimulasikan pergerakan motosikal sehingga 60 km/j, digunakan dalam penilaian Autonomous Emergency Braking (AEB) Car-to-Motorcyclist Test Protocol version 1.0. Ia bertujuan mengurangkan risiko pelanggaran motosikal di jalan raya ASEAN dan yang ke dua ASEAN Child Presence Detection (CPD) Subject – Model KIDS CPD-DS3 – hasil kerjasama MIROS, UTM, ASEAN NCAP, CAERI dan ACTS Smart Solutions. Model ini mensimulasikan kehadiran serta pernafasan bayi berusia 12 bulan dan membantu dalam pembangunan sistem pengesanan kanak-kanak tertinggal dalam kenderaan.

Lebih daripada 50 kertas penyelidikan dibentangkan oleh pakar keselamatan jalan raya, akademia dan industri yang membincangkan pelbagai topik termasuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), data kemalangan, serta analisis teknologi keselamatan berasaskan data.

Kesimpulannya SHIFT 2025 berperanan sebagai platform strategik dalam memacu transformasi keselamatan kenderaan dan jalan raya di ASEAN melalui penyelidikan, inovasi serta kolaborasi pelbagai pihak. SHIFT 2025 berperanan sebagai platform strategik dalam memacu transformasi keselamatan kenderaan dan jalan raya di ASEAN melalui penyelidikan, inovasi serta kolaborasi pelbagai pihak.

Dapatan dan hasil perbincangan daripada persidangan ini dijangka membentuk hala tuju baharu ASEAN NCAP, memastikan rantau ini terus ke hadapan dalam membina masa depan mobiliti yang lebih selamat, pintar dan berdaya tahan.










