Baca perjanjian kena baca penuh, bukan sekerat – Tengku Zafrul tegur Azmin

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegur agar tidak memetik sebahagian tanpa membaca penuh kandungan perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia–Amerika Syarikat sehingga membuat tuduhan kerajaan menggadaikan kedaulatan negara.

Beliau merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa perjanjian Malaysia-AS telah mengehadkan hak negara untuk membuat keputusan secara bebas dengan memaksa Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan oleh AS dalam bidang perdagangan, pelaburan dan perundangan.

Dalam satu video penjelasan di Facebook, Tengku Zafrul menegaskan bahawa dakwaan itu tidak tepat kerana klausa yang dipetik, iaitu Klausa 5.1, perlu dibaca secara menyeluruh dan bukan separuh-separuh seperti yang dilakukan Azmin.

“Kalau baca perjanjian, kita kena baca penuh. Jangan baca sekerat. Baru-baru ini Azmin Ali kata perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia AS ini menggadaikan kedaulatan negara.

“Klausa yang dipetik ialah klausa 5.1. Apa kandungan klausa 5.1 ini? Dia cuma petik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua dan kononnya kalau AS kenakan sekatan kepada mana-mana negara, Malaysia ini automatik kena ikut,” katanya.

Beliau menjelaskan, Azmin hanya memetik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua dalam klausa berkenaan yang berbunyi:

“Upon receiving such notification from the United States, Malaysia shall adopt or maintain a measure with equivalent restrictive effect as the measure adopted by the United States or agree to a timeline for implementation that is acceptable to both Parties…”

Namun, bahagian akhir klausa adalah yang amat penting, iaitu:

“…to address a shared economic or national security concern.”

Menurut Zafrul, frasa shared economic or national security concern menjelaskan bahawa langkah sekatan hanya akan diambil jika isu tersebut memberi kesan bersama terhadap keselamatan ekonomi atau nasional kedua-dua negara.

“Apa maksudnya? Maksudnya sekatan ini perlu untuk menangani isu keselamatan negara dan ekonomi bersama. Kata kunci di sini bersama.

“Maksudnya kalau isu tersebut hanya memberi kesan kepada keselamatan negara dan ekonomi AS tetapi tidak memberi impak kepada keselamatan negara dan ekonomi Malaysia, kita tak perlu pertimbangkan,” katanya.

BACA JUGA ‘Minta maaf atau saya akan saman fitnah RM10 juta’