Kes abang kelar adik: Polis tak tolak kemungkinan pengaruh ‘online gaming’

Polis tidak menolak kemungkinan kes seorang abang berusia sembilan tahun yang mengelar adiknya berusia enam tahun, disebabkan oleh pengaruh permainan dalam talian.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat di mana mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher serta luka tikaman pada badannya.

Menurut Ab Rahaman, siasatan awal mendapati abang mangsa bermain secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta ‘point’ dalam permainan yang terdapat di dalam telefon pintarnya.

Mangsa kemudian dipercayai telah merosakkan telefon abangnya dan ‘mata’ yang dikumpulkan itu hilang.

“Hasil soal siasat yang dibuat terhadap abang mangsa, mungkin ada kesan daripada game, dia mengalami macam halusinasi waktu malam dan seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya.

“Dipercayai abang mangsa mengambil sebilah pisau yang ada dalam rumah itu dan mencederakan adiknya sendiri tetapi apa-apa pun dalam hal ini kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, motif kejadian masih lagi dalam siasatan namun ada kemungkinan berkaitan dengan aplikasi permainan yang disimpan abangnya di dalam telefon 

Ab Rahaman berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Batu Pahat dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan masih di peringkat awal, dan kami belum dapat merakamkan kenyataan mangsa kerana dia masih belum pulih sepenuhnya.

“Mangsa dan abangnya kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebab mereka di bawah umur,” ujarnya.

BACA JUGA Azmin, Tun Faisal di sebalik krisis Bersatu, dakwa penyokong