KPDN perkukuh budaya pematuhan perniagaan melalui program PATUH

FOTO BERITA… Majlis Perasmian Program PATUH & Sidang Media oleh YB Senator Dr Fauziah Salleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban Arah Selatan Seremban Negeri Sembilan. 29hb Oktober 2025 Rabu (Gambar: UKK KPDN)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Program PATUH di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS Seremban Arah Selatan, sebagai langkah strategik memperkukuh budaya pematuhan dalam kalangan entiti perniagaan di seluruh negara. Pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menurut beliau, pelaksanaan Program PATUH merupakan satu inisiatif menyeluruh yang bertujuan memastikan setiap pemain industri mematuhi undang-undang, piawaian dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan. ‘Melalui Program PATUH, KPDN berhasrat membentuk persekitaran perniagaan yang tersusun, beretika dan berintegriti, di samping memberikan perlindungan optimum kepada pengguna. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perdagangan domestik, malah menggalakkan budaya kawalan kendiri dalam kalangan peniaga terhadap undang-undang perdagangan,” ujar Datuk Dr Fuziah.

Bagi tahun pertama pelaksanaan, dua inisiatif utama diperkenalkan sebagai projek perintis iaitu, Zon Persinggahan PATUH (ZPP), melibatkan 20 Kawasan Rehat dan Rawat PLUS di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak sebagai fasa awal sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain di seluruh negara. R&R dipilih sebagai lokasi strategik kerana menjadi tumpuan pengguna lebuh raya dan sesuai dijadikan platform pendidikan pengguna serta model amalan perniagaan yang patuh undang-undang.

Pasar PATUH, bertujuan memperkukuh pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam dengan penekanan terhadap penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang tepat, serta persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur. Pelaksanaan rintis Pasar PATUH dimulakan di satu pasar awam di setiap negeri sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negara. [29/10, 9:04 pm] Wannazek 016: Kerjasama Rentas Agensi Perkukuh Tadbir Urus Perdagangan

Program PATUH turut mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara bersepadu dan berimpak tinggi. Antara rakan strategik utama yang terlibat ialah PLUS Malaysia Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

“Program ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, malah menggambarkan kesepaduan antara agensi dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus perdagangan dalam negeri, Pematuhan bukan sekadar kewajipan undang-undang, tetapi tanggungjawab moral dan etika yang menjamin keadilan dalam perniagaan serta kesejahteraan pengguna,” jelas beliau mengakhiri ucapan. KPDN percaya bahawa dengan pelaksanaan secara berfasa dan sokongan padu semua pihak, Program PATUH akan menjadi pemangkin transformasi perdagangan negara ke arah perniagaan yang lebih berintegriti, telus dan mesra pengguna. Program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang, menggalakkan persaingan sihat dalam perniagaan serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.