Perkukuh Semangat Ihsan Madani Dalam Pendidikan Anak-Anak Bandar Tun Razak – Dr Wan Azizah

FOTO BERITA: Majlis perasmian penyampaian sumbangan bantuan wang tunai kepada murid-murid cemerlang peringkat Parlimen Bandar Tun Razak oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Komune Living & Wellness 21, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. 29hb Oktober 2025 (Rabu)

Seramai 100 murid sekolah menengah daripada sembilan buah sekolah di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan kewangan berjumlah RM500 setiap seorang menerusi Majlis Sumbangan Ihsan Madani Murid-Murid Sekolah Menengah Parlimen Bandar Tun Razak yang berlangsung di Komune Living & Wellness, Bandar Tun Razak hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan beliau memperkukuh agenda keprihatinan sosial dan pembangunan pendidikan di kawasan parlimennya.

Turut hadir ialah YB Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong; YBhg Datuk Azman Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri; Yang Berusaha Cik Xiner Li, Pengasas ERM Schools Foundation; serta Yang Berusaha En Nazir bin Hussin, Wakil Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Hadir sama Ketua Polis Daerah Cheras, Tuan Aidil Bolhassan, serta wakil DBKL dan MPPWP Parlimen Bandar Tun Razak.


Dalam ucapannya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program berkenaan yang disifatkannya sebagai cerminan semangat ihsan madani — keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat demi memastikan tiada anak yang ketinggalan dalam pendidikan.

“Program ini bukan sekadar pemberian bantuan kewangan, tetapi lambang solidariti dan tanggungjawab sosial seluruh komuniti. Setiap anak di Bandar Tun Razak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama tanpa mengira latar belakang,” ujar beliau. Menurutnya lagi, sumbangan ini dilaksanakan dengan kerjasama ERM Schools Foundation, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), PPD Bangsar & Pudu, serta agensi kerajaan dan pihak sekolah.


Berdasarkan data semasa, terdapat 12,297 murid bersekolah di sekolah menengah harian di Parlimen Bandar Tun Razak. Daripada jumlah itu, 1,800 murid dikenal pasti berada dalam kategori yang memerlukan bantuan pendidikan dan kebajikan. Dr Wan Azizah menjelaskan bahawa angka ini menunjukkan keperluan berterusan untuk semua pihak yang termasuk kerajaan, sektor swasta, dan komuniti setempat memainkan peranan penting memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan ekonomi keluarga.


Dalam ucapannya, beliau turut mengimbas pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah dilaksanakan di Parlimen Bandar Tun Razak sepanjang tahun ini, antaranya: Program Community Feeding & Pertanian Komuniti, membantu menangani isu kekurangan zat makanan kanak-kanak di PPR Desa Tun Razak serta memupuk pertanian bandar.

Program Sunathon Parlimen Bandar Tun Razak, menawarkan khidmat berkhatan percuma kepada anak-anak keluarga B40. Kempen Kesedaran Kesihatan & Kebersihan Wanita, termasuk sumbangan kit penjagaan diri untuk pelajar perempuan. Program “Back To School”, menyediakan bantuan persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan.

Kempen Kesedaran Kesihatan & Kebersihan Wanita, termasuk sumbangan kit penjagaan diri untuk pelajar perempuan. Program “Back To School”, menyediakan bantuan persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan.

Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Bandar Tun Razak 2025, yang bakal diadakan pada 2 November 2025, bagi meraikan 500 pelajar yang menunjukkan kecemerlangan akademik, kokurikulum, dan sahsiah diri.

“Saya berharap anugerah yang bakal diadakan itu menjadi inspirasi kepada murid lain untuk terus berusaha gigih dan menjadi kebanggaan keluarga serta masyarakat,” tambah beliau.


Mengakhiri ucapan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah menyeru agar semua pihak terus memperkukuh semangat Ihsan Madani dalam masyarakat melalui pendidikan, kasih sayang dan perpaduan. “Kemajuan masyarakat tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi hasil kolaborasi antara sektor awam, swasta dan komuniti. Gunakanlah bantuan ini sebaik mungkin sebagai titik permulaan untuk melakar masa depan yang lebih cemerlang dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.