PM Anwar di tangga ke-10 dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan di tempat ke-10 tokoh muslim paling berpengaruh di dunia dalam `The World’s 500 Most Influential Muslims’ edisi 2026.

Penarafan itu diterbitkan sebuah pusat kajian bebas, Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) yang bernaung bersama Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt berpangkalan di Amman, Jordan.

Dalam edisi 2025, Anwar yang juga Menteri Kewangan menduduki tempat ke-15 dan di nombor 17 pada 2024.

Menurut The World’s 500 Most Influential Muslims, Anwar memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas beberapa hari pertempuran di sempadan.

“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut penerbitan itu.

Dalam isu genosid di Gaza pula, RISSC menerusi penarafan tahunan tersebut menyatakan Anwar sebagai tokoh Muslim yang “lantang menyokong hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan”.

“Pertemuannya dengan pegawai Hamas (termasuk pemimpin Hamas yang dibunuh, Ismail Haniyeh) telah mengundang kritikan daripada Amerika Syarikat.

“Hantaran beliau di media sosial yang menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh telah dipadam, mendorong beliau berkata:

“Biarlah ini menjadi mesej yang jelas dan tegas kepada Meta: Hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai alat kepada rejim Zionis Israel yang menindas.”

BACA JUGA Tengku Zafrul jawab kebimbangan Kelantan mengenai REE