Bukit Aman tumpaskan ribuan akaun keldai
Ribuan akaun keldai yang diguna untuk menjalankan penipuan dalam talian berjaya ditumpaskan dengan lebih 2,000 tangkapan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Tangkapan tertinggi direkodkan di Sarawak iaitu 272 orang, diikuti Sabah (200), Kuala Lumpur (137) dan Selangor (115).
Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata Operasi Mule NSRC yang dijalankan dari 22 hingga 28 September lepas berjaya menahan 1,303 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan akaun keldai, membabitkan 778 kertas siasatan.
“Daripada jumlah itu, 270 kertas siasatan (35 peratus) telah dituduh di mahkamah di bawah pelbagai seksyen Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 420 dan 424,” katanya pada sidang media khas menurut Bernama.
Beliau berkata operasi berkenaan, yang dilaksanakan bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bertujuan membanteras jenayah komersial yang menggunakan akaun keldai untuk menerima wang hasil penipuan dalam talian.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menjual akaun bank dan kad ATM kepada pihak lain kerana perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh disalah guna untuk aktiviti jenayah dan penggubahan wang haram.