Catatan mengenai PMX
OLEH: SYAHREDZAN JOHAN
September lepas, saya berpeluang mengikut delegasi PMX ke Dili, Timor-Leste untuk lawatan rasmi ke Timor-Leste.
Itu merupakan kali pertama saya dapat peluang bersama-sama dengan PMX ke luar negara.
Lawatan tersebut sekejap sahaja; 2 hari satu malam.
Jadual kami padat; dari saat kami mendarat di Dili, sehinggalah kami berlepas pulang ke Malaysia.
Memang tidak ada masa untuk berehat. Yang ada niat untuk jalan-jalan atau pergi shopping? Hah, lagilah tak ada.
Lawatan tersebut dimaksimakan sepenuhnya.
Jumpa Presiden. Jumpa Perdana Menteri. Mesyuarat dua hala. Perjumpaan empat mata. Beri ucapan di Parlimen. Beri syarahan. Pecah tanah. Terima anugerah.
Dan setiap program yang diatur, sudah tentu PMX berucap atau berbincang. Mana ada istilah duduk tepi senyap-senyap bila anda PM.
Saya pergi program seharian dekat kawasan pun penat. Itupun rasmi sini sedikit, bagi ucapan sana sedikit. Bukan macam apa yang PMX kena buat.
Tetapi dalam kesibukan dan jadual seperti itupun, PMX tetap cergas dari awal hingga akhir. Pada setiap masa ‘on the ball’, pada setiap masa dengan fakta dan data di jari.
Selesai urusan di Dili, kami berlepas pulang. Kami mendarat di Malaysia di waktu petang. Saya terus pulang ke rumah, badan saya kepenatan. Umur pun sudah semakin berusia, tidak macam dahulu.
Malam itu, saya rehat di rumah dengan keluarga. Saya capai phone saya, saya scroll media sosial.
Saya buka instagram – terkejut saya bila saya nampak posting PMX dia menghadiri suatu majlis makan malam pula. Ini baru 2 jam selepas mendarat!
“Bila masa orang tua ini rehat”, saya tanya isteri saya. “Kita ni penat gila, dia rilex je pergi dinner”.
Ya, saya kagum.
Saya tidak kesah jika saya digelar pentaksub atau walanon. Dan ini bukan post untuk bodek PM. Lagipun bukan dia yang tentukan pencalonan saya dalam pilihan raya.
Tetapi posting ini sebagai testimoni tentang PMX yang disaksikan oleh mata kepala saya sendiri.
Kita sendiri saksikan bagaimana dia dari pagi sampai malam sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN, ke hulu dan ke hilir, melayan kerenah pemimpin dunia dan mempengerusikan pelbagai mesyuarat.
PMX muatnaik gambar beliau dalam kereta, usai Sidang Kemuncak ASEAN. Memang kelihatan penat. Kalau dia cuti sehari, saya rasa tiada siapa akan pertikai.
Tetapi esoknya, dia sudah masuk pejabat semula.
Anda boleh persoalkan dasar beliau. Anda boleh kritik politik beliau.
Tetapi saya fikir, anda memiliki hati yang hitam jika anda tidak mampu mengakui bahawa PMX kita memang kerja kuat.
Kalau dahulu hanya yang kenal beliau tahu ‘work rate’ PMX, kini satu dunia jadi saksi.
Semoga Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.
SYAHREDZAN JOHAN ialah Ahli Parlimen Bangi dan naib pengerusi DAP kebangsaan