MyCC Competition Summit 2025 tekankan tadbir urus dan integriti pasaran mampan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian ‘MyCC Competition Summit 2025’ oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Turut hadir YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idrus HarunPengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di Pyramid 1, CP3, Sunway Pyramid Convention CentreBandar Sunway, 47500 Petaling Jaya, Selangor. 30hb Oktober 2025 (Khamis)

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini menganjurkan MyCC Competition Summit 2025 bertemakan “Strengthening Competition Through the ‘G’ in ESG for a Sustainable Future” bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre. Persidangan berprestij ini menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pengawal selia, ahli akademik serta pakar industri dari dalam dan luar negara.

Persidangan ini menampilkan sembilan wakil berprofil tinggi daripada pihak berkuasa persaingan antarabangsa termasuk Pihak Berkuasa Persaingan Turkiye (TCA), Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC), Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Turut serta ialah pakar tempatan daripada Kementerian Kewangan, PETRONAS, Khazanah Nasional Berhad, Bursa Malaysia, SME Corporation Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Persidangan tahun ini memberi tumpuan kepada peranan penting tadbir urus (governance) dalam memacu persaingan sihat dan memastikan integriti pasaran yang mampan. Antara fokus utama yang dibincangkan ialah pembanterasan kartel tipuan bida (bid-rigging) serta penambahbaikan tadbir urus dalam transaksi percantuman melalui rejim kawalan percantuman.

Seiring dengan komitmen MyCC untuk memperkukuh pasaran yang berdaya saing, agensi itu kini mempertingkat penguatkuasaan terhadap kartel tipuan bida, satu bentuk salah laku yang menjejaskan ketelusan dalam proses perolehan awam. Bagi tujuan ini, MyCC meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam proses perolehan.

Menurut MyCC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut membantu penyelarasan bagi menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC dengan 16 kementerian lain. Usaha ini bertujuan memastikan proses perolehan kerajaan dijalankan secara adil, telus dan berintegriti.

Dua Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai iaitu Persidangan turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara: MyCC dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC); dan MyCC dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia)

Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak akan memperkukuh kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, advokasi, latihan, penyelidikan serta perkongsian amalan terbaik. MoU ini juga membuka peluang kepada dialog berkala bagi memperkukuh dasar persaingan dan pembangunan pasaran yang lebih kompetitif di peringkat nasional serta serantau.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk menyokong usaha MyCC dalam memastikan setiap entiti perniagaan mematuhi prinsip persaingan sihat.

“Kerajaan bertekad memastikan pasaran Malaysia bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan seperti kartel dan penipuan bida. Ini penting bagi memastikan nilai terbaik untuk rakyat dan tadbir urus yang telus dalam setiap perolehan awam,” ujar beliau.

Dengan pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik ini, MyCC terus memperkukuh peranannya sebagai penggerak utama dalam memastikan pasaran Malaysia kekal adil, terbuka dan berdaya saing