Peringatan PMX kepada Perikatan Nasional: Jangan bersikap lebih Hamas dari Hamas, lebih China dari China

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) agar tidak bersikap lebih Hamas dari Hamas dan lebih China dari China dalam mentafsirkan langkah kerajaan menjalinkan hubungan perdagangan luar.

Ini kerana PN menyemai kebencian sehingga ada yang menyalahtafsir peruntukan tertentu dalam perjanjian perdagangan termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat – Malaysia.

“Perjanjian perdagangan timbal balas dijelaskan semalam oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan masih ada ruang berdebat selepas ini. Sebab itu Menteri MITI cabar (tanya) peruntukan (yang) mana?

“Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa-apa dilakukan oleh AS tentunya diteliti ‘line by line’ (satu demi satu) oleh China.

“Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah Ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China. Kalau unsur nadir bumi (REE) dimonopoli AS, tidak boleh dengan China… ini tidak berlaku (sebenarnya).

“Jadi kita (pula) jadi ‘lebih Hamas dari Hamas’, ‘lebih China dari China’. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu saja. Saya akan teliti dulu undang-undangnya, teliti peruntukannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang bertanya sama ada perjanjian yang ditandatangani boleh mencemarkan maruah dan kedaulatan negara.

Turut dijelaskan bahawa komitmen pembelian barangan AS berjumlah RM1 trilion membabitkan pembelian oleh GLC, bukannya kerajaan.

“Bukan saya order (pesan pesawat berkenaan). Ini (dilakukan) MAS. Begitu juga tentang pesanan daripada Google, Microsoft. Ini bukan kerajaan.

“Begitu juga import gas. Gas asli cecair (LNG) dari PETRONAS, tentu PETRONAS jelaskan dan ia tentunya bukan baru (berlaku). Ia satu kejayaan besar pelaburan cari gali PETRONAS di Kanada yang dikutuk dulunya kononnya kita jual .Itu pun satu penipuan tetapi tidak berlaku. Sekarang berhasil.

“Kehadiran Perdana Menteri Kanada antara lain untuk menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana PETRONAS berjaya di Kanada. Hasilnya besar,” katanya.