Hospital Rehabilitasi Cheras terima peralatan canggih bernilai RM5.38 juta di bawah Inisiatif Centre of Excellence (CoE)

FOTO BERITA: Majlis Serah Terima Peralatan Centre of Excellence (COE), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, MenteriKesihatan di Auditorium HRCJ, alan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. 30hb Oktober 2025 (Khamis)

Majlis Serah Terima Peralatan Centre of Excellence (CoE) Peringkat Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan di Auditorium HRC, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur hari ini. Majlis ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh sistem kesihatan awam melalui inisiatif CoE di bawah Reformasi Sistem Kesihatan Negara, dengan objektif melahirkan pusat rujukan bertaraf dunia yang dilengkapi teknologi moden, tenaga pakar mahir dan kemampuan penyelidikan setanding negara maju.

Dalam ucapannya, YB Menteri Kesihatan menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh warga HRC atas peranan penting mereka dalam memperkukuh bidang rehabilitasi negara. “HRC bukan sekadar hospital; ia adalah tempat pemulihan dan pengembalian makna kehidupan. Di sinilah pesakit yang diuji dengan kecederaan atau ketidakupayaan kembali bangkit dan berdiri dengan yakin, disokong oleh petugas kesihatan yang menjadi sumber kekuatan dan harapan,” ujar beliau.

Sebagai satu-satunya hospital awam yang memberi tumpuan penuh kepada bidang Perubatan Rehabilitasi, HRC telah diiktiraf sebagai Pusat Rujukan Kebangsaan bagi pelbagai subkepakaran, termasuk Rehabilitasi Neurologi dan Kecederaan Otak, Rehabilitasi Spinal dan Amputasi, Rehabilitasi Pediatrik dan Geriatrik, serta Rehabilitasi Kardiopulmonari.

Menurut YB Menteri, sebanyak 21 hospital dan institusi perubatan khas KKM telah dikenal pasti untuk dinaik taraf sebagai Centre of Excellence dalam bidang-bidang kritikal dengan peruntukan keseluruhan RM100 juta bagi tempoh 2025–2026.

Bagi tahun 2025, HRC menerima peruntukan sebanyak RM5.38 juta bagi pembelian pelbagai peralatan canggih berteknologi tinggi yang akan digunakan dalam rawatan fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan, audiologi dan psikologi klinikal.

Antara peralatan yang diterima termasuk Lower Limb Exoskeletal Robotic Device, Wearable Hand Exoskeleton, Virtual Vestibular Rehabilitation System, dan VR Exposure Therapy, serta pelbagai sistem terapi digital interaktif terkini.

“Inisiatif ini bukan sekadar tentang teknologi, tetapi juga tentang membentuk minda dan budaya kecemerlangan — memastikan setiap usaha pemulihan, penyelidikan dan latihan di Malaysia setanding dengan piawaian antarabangsa,” jelas beliau.

Selain penambahan peralatan, HRC turut menjadi contoh unggul dalam pembangunan tenaga pakar. Tahun ini sahaja, ramai pegawai dan pakar rehabilitasi telah dihantar menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di luar negara, sebagai bukti komitmen KKM melahirkan kepakaran tempatan bertaraf antarabangsa.

HRC juga kini merupakan hospital rintis untuk pengiktirafan World Stroke Organisation (WSO) Rehabilitation Certification, satu pencapaian yang bakal mengangkat nama Malaysia di peringkat global.

HRC juga kini merupakan hospital rintis untuk pengiktirafan World Stroke Organisation (WSO) Rehabilitation Certification, satu pencapaian yang bakal mengangkat nama Malaysia di peringkat global.

YB Menteri turut menegaskan bahawa bidang rehabilitasi bukan sekadar merawat tubuh, tetapi turut memulihkan jiwa dan maruah insan. “Bidang rehabilitasi adalah tentang mengembalikan harapan dan maruah insan, inilah roh sistem kesihatan MADANI yang kita usahakan bersama,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga HRC atas dedikasi dan sumbangan luar biasa dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan kesihatan awam negara.

“Teruslah menjadi peneraju kecemerlangan dalam bidang rehabilitasi dan inspirasi kepada semua — bahawa dengan ilmu, empati dan ihsan, setiap insan mampu bangkit semula,” tambah beliau
