Pendirian kerajaan Madani berhubung kebebasan media

Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian bahawa wartawan bebas bertanya soalan kepada menteri, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya telah menyatakan pendirian kerajaan adalah sangat jelas yang mana wartawan berhak bertanya apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka sebagai wartawan.

“Setiap jawapan dan respon yang diberikan perlulah disampaikan dengan berhemah dan disampaikan dengan prinsip keterbukaan di samping saling menghormati antara media dan pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Dalam program prapelancaran projek ‘I Lite U’, diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan Utusan Malaysia bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.

Nga menjelaskan ia acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Namun, pemimpin DAP itu kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia tersebut yang dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan berhubung soalan diajukan.