PN Pertikai Projek LRT Mutiara Tak Adil, Habis Projek Naik Taraf Rel Pasir Mas & Rantau Panjang Siapa Usahakan?

Ketika sesetengah pihak pembangkang sibuk mempertikai projek LRT Mutiara di Pulau Pinang kononnya tidak adil kepada negeri lain, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak mengamalkan pilih kasih dalam membawa pembangunan pengangkutan awam di seluruh negara.

Dalam penggulungan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Anthony menegaskan bahawa projek LRT di Pulau Pinang diluluskan kerana keperluan dan potensi rakyat negeri itu untuk memiliki sistem pengangkutan moden dan efisien.

Beliau mengingatkan bahawa semua projek kerajaan dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat, bukan warna politik negeri.

“Rakyat Pulau Pinang sendiri yang menilai. Mereka mahu kemajuan dan sistem pengangkutan yang baik. Janganlah ada PHD (Perasaan Hasad Dengki), seolah-olah pembangunan di Pulau Pinang menafikan hak negeri lain,” katanya.

Hakikatnya, di bawah pentadbiran MADANI, pembangunan tidak tertumpu hanya di negeri tertentu.

Malah, contoh jelas ialah projek naik taraf laluan kereta api antara Pasir Mas dan Rantau Panjang di Kelantan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kos RM264 juta.

Projek ini melibatkan kerja tanah, pembinaan pagar baharu, naik taraf Stesen Pasir Mas dan Rantau Panjang serta sistem semboyan moden.

Ia langkah penting menghidupkan semula laluan tren penumpang dan kargo yang sudah lama terbiar.

Ia juga bakal memperkukuh hubungan rel rentas sempadan Malaysia–Thailand, membuka peluang ekonomi baharu di kawasan sempadan dan memudahkan urusan logistik serantau.

Inilah bukti nyata bahawa Kerajaan MADANI tidak menafikan pembangunan untuk negeri pembangkang seperti Kelantan.

Pendekatan Anthony Loke jelas berpaksikan prinsip keadilan wilayah yang mana setiap negeri dibangunkan mengikut potensi dan keperluannya.

Berbeza dengan kerajaan terdahulu yang pernah menyekat projek di negeri tertentu atas dasar politik, kerajaan hari ini memperlihatkan dasar terbuka: membangunkan Selangor dengan MRT, Pulau Pinang dengan LRT, dan Kelantan dengan projek rel baharu.