Terkini: Ismanira didapati bersalah abai Zayn Rayyan, dihukum penjara 5 tahun

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mendapati Ismanira Abdul Manaf bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya berusia enam tahun, Allahyarham Zayn Rayyan yang mengalami autistik.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan.

Keputusan itu dibuat Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Dr Syahliza menyatakan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan dan semua elemen kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah dipenuhi.

Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa tertuduh  tidak mengabaikan anak autistiknya semasa kejadian, dengan menyifatkan keterangan yang diberikan bercanggah dan tidak konsisten.

Pada 21 Julai lalu, Syahliza memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.