Tun Faisal ibarat profesor serba tahu, Bersatu dah jadi Gila-Gila
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan mengibaratkan ketua penerangan Bersatu bagaikan professor serba tahu dalam komik Gila-Gila ekoran tindakannya mempertahankan lembaga disiplin yang tidak dianggotainya.
“Dalam Bersatu, kita ada satu karakter namanya Tun Faisal Ismail Aziz. Tidak ada perkara yang dia tak tahu, melainkan tahu semuanya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Yang terkini, dia kononnya tahu apa yang berlaku dalam sesi-sesi Lembaga Disiplin. Apabila Wan Ahmad Fayhsal mengatakan bahawa sasaran sebenar Lembaga Disiplin ialah Dato Seri Hamzah Zainudin, tiba-tiba “Profesor Serba Faisal” pula menyanggah.
“Bagaimanakah seseorang yang bukan ahli panel prosiding atau jawatankuasa Lembaga Disiplin boleh mengeluarkan kenyataan mewakili lembaga tersebut?”
Semalam ketua penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Aziz Ismail menafikan dakwaan bahawa lembaga disiplin parti menyasarkan timbalan presiden Datuk Hamzah Zainudin.
“Dia tidak sepatutnya membuat andaian awal terhadap tindakan lembaga disiplin sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak lembaga disiplin.
“Tindakannya menunjukkan ketidakmatangan politik dan percubaan mencampuri proses tatatertib dalaman yang sedang dijalankan,” kata Tun Faisal dalam kenyataan semalam.
Wan Saiful menjelaskan kenyataan yang dibuat Wan Ahmad Fayhsal dan dirinya sendiri adalah berdasarkan pengalaman mereka.
“Dalam sesi saya pada 8 Oktober 2025, Pengerusi Dato’ Mohd Radzi Manan berulang kali bertanyakan sama ada saya bertindak atas arahan Dato Seri Hamzah Zainudin atau sama ada beliau merupakan “master” di sebalik apa yang saya lakukan.
“Jika Datuk Seri Hamzah bukan sasaran, kenapa soalan sebegini ditanya bertubi-tubi?
“Berhentilah meniru Profesor Serba Tahu sebab nanti disebabkan seorang kartun ini saja rakyat akan melihat Bersatu sudah menjadi parti Gila-Gila.”
Wan Saiful telah dipecat manakala Wan Ahad Fayhsal digantung selama satu penggal.