Majlis Media Malaysia sambut baik jaminan kerajaan lindungi hak wartawan
Majlis Media Malaysia (MMM) mengalu-alukan penegasan semula kerajaan mengenai hak wartawan untuk bertanya soalan berkaitan tanpa rasa takut atau ancaman.
Menurut MMM, sudah menjadi tugas wartawan untuk bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan mengenai dasar, program serta tindakan kerajaan.
Menerusi kenyataan itu, ia juga merupakan amalan kewartawanan yang baik untuk mengesahkan fakta dan menjelaskan sesuatu perkara sebelum diterbitkan.
“Kami menghargai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, susulan perbincangan Jemaah Menteri mengenai kejadian tersebut.
“Beliau menegaskan kepentingan melindungi hak dan tanggungjawab wartawan untuk menyoal menteri serta pegawai kerajaan mengenai isu berkepentingan awam, iaitu satu prinsip asas kepada ketelusan dan akauntabiliti.
“Bagaimanapun, jika ada wartawan bertindak secara tidak wajar semasa menjalankan tugas, tindakan yang sewajarnya akan diambil dengan membangkitkan isu tersebut kepada penerbit.
“Jika tidak dapat diselesaikan, mereka boleh mengemukakan aduan rasmi kepada majlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dihujani kritikan banyak pihak termasuk persatuan media susulan kenyataannya yang dilihat sebagai cubaan mengugut seorang wartawan Utusan Malaysia ketika sesi prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya akan ingat, dan saya akan hubungi ketua editor anda. Saya tidak mahu anda datang ke sini dan merosakkan majlis dengan soalan seperti itu,” kata Nga dalam klip video tular yang memberi gambaran beliau akan menghubungi pengarang Utusan Malaysia untuk membuat aduan.