Lain kali jangan cepat label orang, negeri sendiri pun gagal kawal cukai- Pemuda AMANAH Kedah

Ketua Pemuda AMANAH Kedah, Muain Ahmad Shukri mengkritik Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam isu kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Beliau mendakwa, Afnan cuba menjadi hero apabila mengatakan kerajaan negeri Kedah melalui Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Exco kerajaan negeri “telah membuka ruang bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran”.

Menurut Muain, ruang bantahan tersebut bukanlah jasa atau keputusan politik kerajaan negeri, sebaliknya telah termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), di bawah Seksyen 142.

Peruntukan itu menyatakan bahawa mana-mana individu yang terkilan dengan senarai nilaian baharu yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (mengikut notis di bawah Seksyen 141) berhak membuat bantahan.

Justeru katanya, ruang bantahan itu adalah hak rakyat yang dijamin sejak awal dan bukanlah ruang yang dibuka atas ihsan kerajaan negeri. 

“Jadi tidak perlulah berlagak hero atas sesuatu yang memang sudah menjadi peruntukan undang-undang sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menasihatkan supaya selepas ini tidak terlalu cepat melabel Kerajaan Persekutuan sebagai bapa percukaian, sedangkan kerajaan Pas sendiri gagal mengawal kenaikan cukai.

“Pesanan ikhlas buat YB lain kali jangan terlalu cepat melabel kerajaan Persekutuan sebagai “bapa percukaian”, sedangkan di peringkat negeri kerajaan PAS sendiri gagal mengawal kenaikan cukai dan nilaian harta rakyat. 

“Jangan menuding jari ke orang lain bila beban itu datang daripada kelemahan pentadbiran sendiri.

“Kalau benar-benar mahu membela rakyat, tumpukan kepada isu sebenar mengapa nilaian baharu itu dibuat, bagaimana kadar tersebut ditetapkan, dan apakah langkah kerajaan negeri untuk memastikan beban rakyat tidak bertambah,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan Afnan supaya tidak berpura-pura menunggang naratif seperti merekalah penyelamat rakyat, sedangkan hakikatnya hanya mendakwa kredit atas undang-undang yang sedia ada.

BACA JUGA Papagomo ditahan sekali lagi atas dakwaan menghasut