Langkah strategik perkukuh keupayaan Malaysia dalam pendidikan kesihatan

FOTO BERITA: YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, telah merasmikan Majlis Pelancaran Kolej Universiti Institut Jantung Negara IJN University College, (IJNUC) yang berlangsung di Lobi Utama Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 4hb November 2025 (Selasa)

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi dan Naib Canselor IJNUC, Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus bersama barisan kepimpinan Kementerian Pengajian Tinggi, pengurusan tertinggi IJN Holdings, para akademik serta warga IJN.

Pelancaran ini menandakan peningkatan rasmi IJN College kepada status Kolej Universiti, selepas menerima kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 13 Mei 2025. Naik taraf ini memberi kuasa kepada IJN University College untuk menawarkan program akademik di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang dibangunkan secara tempatan (homegrown programmes).

IJNUC kini menjadi sebahagian penting dalam ekosistem pendidikan tinggi negara dengan fokus kepada bidang kardiovaskular, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, psikologi dan sains kesihatan bersekutu, di samping mengekalkan kekuatan IJN sebagai pusat rawatan jantung terkemuka di rantau ini.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peningkatan status IJN College kepada kolej universiti merupakan langkah penting dalam memperkukuh kapasiti Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja kesihatan berkemahiran tinggi.

“Malaysia perlu terus memimpin dalam bidang penjagaan kesihatan khusus, dan usaha seperti ini bukan sahaja memperluas akses kepada pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga memastikan rakyat mendapat rawatan dan perkhidmatan kesihatan terbaik yang dihasilkan oleh tenaga tempatan kita sendiri,” ujar beliau.

Sebagai institusi pendidikan tinggi di bawah IJN Holdings Sdn. Bhd., IJN University College menumpukan kepada pendekatan “learning by doing”, dengan para pelajar mendapat pendedahan langsung di fasiliti klinikal IJN di bawah bimbingan pakar-pakar perubatan bertaraf antarabangsa. IJNUC kini mempunyai tiga fakulti utama, iaitu , Fakulti Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu dan Fakulti Sains Pengurusan

Antara program utama yang ditawarkan termasuk Graduate Certificate in Cardiovascular and Thoracic Sciences (GCCVTS), Bachelor of Nursing Science (Hons), Bachelor of Pharmaceutical Technology, Bachelor of Science in Cardiovascular Technology (Hons) dan Diploma in Nursing.

Naib Canselor dan Ketua Eksekutif IJNUC, Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus, pula berkata pelancaran ini menandakan detik penting dalam misi IJNUC untuk menjadi hab pendidikan kesihatan terkemuka di rantau ini. “Kehadiran YAB Perdana Menteri memberi dorongan besar kepada seluruh warga IJNUC untuk terus komited dalam memperkasa bidang penyelidikan, inovasi, dan pembangunan profesional kesihatan,” katanya.

Sempena pelancaran rasmi ini, IJNUC turut memperkenalkan lagu rasmi universiti kolej bertajuk “Panji Ilmu”, yang mencerminkan semangat, identiti, dan aspirasi institusi dalam memperjuangkan kecemerlangan akademik dan kesihatan. Dalam tempoh lima tahun akan datang, IJNUC merancang untuk memperkenalkan program pascasiswazah dan kedoktoran dalam bidang Pembedahan Kardiotorasik, Kardiologi, Pediatrik, dan Anestesiologi, di samping memperluas kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa.

IJNUC bermula pada tahun 2007 sebagai IJN Training Division, sebelum berkembang menjadi IJN College pada 2008. Program sulungnya, Graduate Certificate in Cardiovascular and Thoracic Sciences (GCCVTS), menjadi asas kepada latihan klinikal kardiovaskular di Malaysia.

Kini, dengan peningkatan ke status kolej universiti pada Mei 2025, IJNUC berperanan membentuk generasi baharu profesional kesihatan yang berpengetahuan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.