Pemimpin Bersatu saman fitnah pemimpin Bersatu RM1 juta

Naib Ketua Bersekutu Bersatu, Sri Sanjeevan Ramakrishnan telah menyaman fitnah Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin.

Sanjeevan menuntut Badrul atau dikenali Chegubard membayar saman fitnah dan ganti rugi sebanyak RM1 juta.

Menurut Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, ia merupakan antara empat tuntutan yang dibuat kepada Badrul.

“Keluarkan video yang mengandungi kenyataan fitnah di akaun Facebook anda.

“Jangan buat sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap anak guam kami.

“Minta maaf dalam tempoh waktu 48 jam selepas menerima surat tuntutan.

“Sebagai pampasan kepada kerosakan kredibiliti, integriti dan reputasi, anak guam kami menuntut RM1 juta dibayar kepada beliau dalam tempoh seminggu,” kata firma guaman yang mewakili Sanjeevan, Messrs Preakas & Partners.

Tindakan itu ekoran sesi Facebook secara langsung yang dibuat oleh Chegubard pada 12 Oktober lalu yang bertajuk #memecahdiam.

Menerusi siaran di media sosial itu, Chegubard mendakwa bahawa Sanjeevan ialah ahli kongsi gelap yang membelanjakan banyak wang di pejabat Presiden Bersatu, Mahiaddin Yassin.

Bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu turut mendakwa Sanjeevan telah membelanjakan banyak wang di pejabat pegawai media Mahiaddin, Datuk Ainon.

“Tuduhan yang dibuat terhadap anak guam kami adalah palsu dan anda telah mencemarkan reputasi anak guam kami di khalayak umum,” kata firma guaman tersebut.

BACA JUGA: Komplot jatuhkan Presiden, giliran Saifuddin Abdullah pula dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu