Pengguna FB mohon maaf kepada Menteri Agama, rayu tidak disaman RM10 juta

Seorang pengguna Facebook, Hafiz Sahidi, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berhubung kenyataan fitnah penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.

Individu itu juga merayu agar Mohd Nai’m tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadapnya termasuk tuntutan saman fitnah berjumlah RM10 juta.

Katanya, dia telah tersilap lapor fakta dan mengakui kenyataannya yang membayangkan seolah-olah menteri agama telah mengarahkan penutupan sekolah-sekolah pondok di Kelantan dan Kedah adalah tidak benar, salah, dan tidak menepati fakta sebenar.

“Oleh yang demikian, saya dengan ikhlas dan tanpa syarat menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada YB Mohd Na’im di atas segala kata-kata yang saya siarkan dalam posting tersebut dan salah paham yang timbul akibat posting tersebut.

“Saya juga dengan rendah hati memohon pertimbangan dan kemaafan daripada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im agar tidak mengenakan sebarang tuntutan kewangan atau kos terhadap saya.

“Saya hanyalah orang kampung biasa, berpendapatan kecil, tidak tetap dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai,” katanya.

Individu itu berkata, tindakannya menulis hantaran tersebut adalah kerana terpengaruh dengan emosi dan maklumat yang tidak sahih, tanpa niat jahat terhadap sesiapa.

Dia benar-benar menyesali perbuatan tersebut dan berharap agar Mohd Na’im dapat menerima permohonan maaf ini.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi kenyataan sebegitu atau apa-apa kenyataan serupa terhadap YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im pada masa akan datang,” ujarnya.