Etika Siber Nasional akan dilaksanakan mulai Januari 2026
Modul Etika Siber Nasional (ESN) akan dilaksanakan sepenuhnya mulai Januari 2026 di peringkat sekolah menengah, umum Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Model ini dibangunkan oleh kementerian beliau untuk memupuk etika siber dalam kalangan belia dan supaya mereka selamat di alam maya.
“ESN distrukturkan kepada enam topik utama — Kefasihan Digital, Etika Digital, Kesihatan dan Kesejahteraan Digital, Perdagangan Digital, Privasi dan Keselamatan Digital, dan Hak dan Tanggungjawab Digital.
“Modul ini merupakan sebahagian daripada program CyberSAFE di sekolah. Ia telah diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan pada 22 Julai 2025,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Agensi Kementerian Digital Cybersecurity Malaysia akan mengekalkan peranan sebagai rakan teknikal kepada Kementerian Digital.
“Fasa rintis ESN sedang dijalankan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara pada masa ini. Ini adalah untuk menilai keberkesanan modul. Fasa pengukuhan modul dijadualkan pada akhir tahun 2025, menggabungkan penambahbaikan berdasarkan maklum balas daripada fasa rintis.
“Latihan dalam talian bagi pegawai dari Kementerian Pendidikan mengenai pengurusan kebangsaan ESN akan bermula bulan hadapan,” tambah beliau lagi