MHO desak siasatan segera terhadap skim pelaburan Forex palsu libatkan kerugian hampir RM5 Juta

FOTO BERITA: Sidang Media mengenai kes penipuan Forex, MHO rayu PDRM mempercepatkan siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu), 38 mangsa dan jumlah kerugian RM3,9 di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 5hb November 2025 (Rabu)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini tampil bersama 38 individu yang mendakwa menjadi mangsa kepada satu skim pelaburan forex mencurigakan, yang disyaki tidak wujud dan beroperasi secara palsu atas nama sebuah syarikat kononnya berdaftar di bawah Labuan Financial Services Authority (LFSA).

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, jumlah keseluruhan pelaburan yang dilakukan oleh mangsa-mangsa berkenaan dianggarkan mencecah RM4,953,722.10. Syarikat tersebut didakwa menjanjikan pulangan pelaburan yang amat tinggi menerusi aktiviti urus niaga forex, namun sebahagian besar pelabur gagal menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

“Pada peringkat awal, terdapat segelintir pelabur yang menerima sedikit pulangan, namun majoriti mangsa langsung tidak memperoleh keuntungan. Setelah disemak semula, skim ini menunjukkan ciri-ciri Skim Ponzi di mana wang pelabur baharu digunakan untuk membayar pulangan kepada pelabur lama,” jelas Dato’ Hishamuddin.

Tambah beliau, para mangsa telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun sehingga kini tiada perkembangan positif diterima berhubung siasatan terhadap kes tersebut.

“Kami berharap pihak polis dapat memberikan pertimbangan sewajarnya dan mempercepatkan siasatan supaya keadilan dapat ditegakkan. Ramai mangsa terpaksa menanggung kerugian besar akibat terpedaya dengan janji manis pelaburan forex ini,” tegas beliau.

MHO turut menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal kerugian kewangan, tetapi turut melibatkan aspek kepercayaan dan keselamatan pelabur awam di Malaysia.

“Penipuan pelaburan seperti ini semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan. MHO menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik skim ini agar lebih ramai rakyat tidak terus menjadi mangsa,” katanya lagi.

MHO, atau Malaysia International Humanitarian Organisation, merupakan sebuah pertubuhan yang ditubuhkan sejak tahun 2016 bagi memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan membantu masyarakat melalui program kemanusiaan serta khidmat guaman.