Pakatan Pas-Bersatu terlalu rapuh, hanya bersandar demi kuasa

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan hubungan politik antara Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak kukuh kerana hanya berasaskan kepentingan kuasa bukannya perjuangan untuk agama dan bangsa seperti yang sering dilaungkan.

Dalam satu forum di poadcast malam tadi, Mahfuz berkata kedua-dua parti pembangkang tersebut kini kelihatan semakin berselerak dan hilang haluan selepas kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan.

“Asas perikatan Pas dan Bersatu terlalu rapuh. Mereka selalu mendakwa demi kepentingan Melayu dan Islam tetapi itu hanya di mulut sahaja. Hakikatnya, asas mereka ialah kuasa,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu menegaskan apa yang sering dipromosikan sebagai “perpaduan ummah” hanyalah slogan untuk mendapatkan jawatan, dan bukan atas permuafakatan jujur membawa agenda Islam.

“Kalau betul hendak mengangkat Islam dan bangsa, semasa mereka berkuasa dulu mereka sudah tentu boleh lakukannya,” tegas beliau.

Menurut Mahfuz, kemunculan PN pada tahun 2020 bukan tercetus daripada kesepakatan murni, sebaliknya daripada pakatan demi mengejar kuasa politik selepas perubahan kepimpinan negara.

“Sebab itu kita lihat pada 2020 lahirnya PN bukan daripada permuafakatan yang ikhlas tetapi berpakat demi mahukan kuasa,” ujarnya.

Beliau turut menyamakan tindakan Pas ketika itu sebagai orang yang sedang lemas apabila sanggup berpaut pada apa sahaja, termasuk menjalin kerjasama dengan UMNO demi kembali berkuasa.

“Apabila mereka hilang kuasa, ibarat orang jatuh dari perahu. Apa saja, kayu reput, bangkai pun disambar,” tempelak Mahfuz lagi.

BACA JUGA Henti momokkan rakyat, budayakan politik hati nurani