Pencakar langit Malaysia diiktiraf bangunan terbaik dunia, apa yang buat Merdeka 118 dikagumi?

Malaysia sekali lagi menempa nama di pentas dunia apabila Menara Merdeka 118 secara rasminya diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU).

CVU atau Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), adalah antara pihak berkuasa terkemuka dalam bidang pencakar langit dan kehidupan bandar moden.

Anugerah itu disampaikan pada Majlis Anugerah CVU 2025 di Toronto, Kanada, yang meraikan kecemerlangan dalam reka bentuk bangunan tinggi dan perancangan bandar di peringkat global.

Dengan ketinggian 678.9 meter di tengah-tengah Kuala Lumpur, menjadikan Merdeka 118 sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi negara, menurut PNB Merdeka Ventures Snd Bhd (PNBMV).

Arkitek Utama Fender Katsalidis, Karl Fender berkata reka bentuk Merdeka 118 bukan untuk mencapai ketinggian luar biasa, sebaliknya merupakan peluang mencipta monumen abadi yang menghormati warisan Malaysia sambil meraikan masa depannya.

“Anugerah ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa seni bina unggul terhasil daripada nilai serta tujuan mendalam, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya menurut Bernama.

Sementara itu, Pengerusi CVU Shonn Mills berkata Merdeka 118 merupakan kecemerlangan reka bentuk bersepadu yang menggabungkan kecekapan teknikal, nilai penceritaan budaya serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Ia menjadi contoh bagaimana bangunan tinggi mampu berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan bandar, sambil mencerminkan identiti serta aspirasi sesebuah negara,” katanya.

Menurut PNBMV, Merdeka 118 diiktiraf sebaris dengan pembangunan bertaraf dunia lain atas keunggulan dalam reka bentuk, inovasi serta peranannya dalam memajukan konsep pembangunan bandar lestari.

Dibangunkan PNB Merdeka ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Merdeka 118 menjadi mercu utama Presint Merdeka 118 yang merangkumi pembangunan bercampur menampilkan dua stadium bersejarah, ruang komuniti serta reka bentuk berasaskan kelestarian.

Komponen utama seperti Stadium Merdeka dan 118 Mall dijangka menjadi destinasi awam inklusif, disokong pelbagai inisiatif berteraskan komuniti termasuk Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118.

Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek Warisan KL bertujuan menghidupkan semula kawasan kejiranan di sekitarnya serta mengukuhkan jalinan komuniti di ibu kota.

Menurut PNBMV, pengiktirafan di peringkat global ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan bandar mampan dan inklusif.

BACA JUGA Selepas wanita Taiwan ditemui mati dalam bilik hotel, Namewee akhirnya bersuara