Bagan Pulau Ketam dinobat Juara Anugerah Kampung Baru Terbaik Selangor 2025

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Anugerah Kampung Baru Terbaik Negeri Selangor oleh YAB Dato’ Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor. Tutut hadir YB Dato’ Ng Suee Lim EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan dan Kampung Baru Negeri Selangor di Hotel Wyndham Acmar Klang, Selangor. 5hb November 2025 (Rabu)

Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan buat julung kalinya menganjurkan Majlis Anugerah Kampung Baru Terbaik Negeri Selangor 2025 bagi mengiktiraf peranan aktif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memperkasa komuniti serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi kampung baru di seluruh negeri.

Majlis yang berlangsung di Shah Alam itu disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Ng Suee Lim, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, bersama dif-dif kehormat.

Anugerah ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Program Rejuvenasi Kampung Baru 2024, dengan proses penilaian dijalankan dari Jun hingga Oktober 2025, melibatkan 77 Kampung Baru di sembilan daerah Selangor.

Menurut YB Dato’ Ng Suee Lim dalam ucapan alu-aluannya, pertandingan ini bukan sekadar mencari pemenang, tetapi sebagai platform untuk memupuk daya saing sihat, inovasi serta semangat perpaduan dalam kalangan komuniti Kampung Baru

“Program ini menjadi wadah untuk memperlihatkan usaha-usaha terbaik kampung dalam pengurusan, kebersihan, inovasi dan pemeliharaan warisan yang akhirnya menyumbang kepada kemajuan negeri,” ujar beliau.

Antara penerima Anugerah Khas EXCO ialah JPKK Kampung Baru Seri Setia, atas usaha memelihara warisan sejarah melalui pewujudan Koridor Sejarah serta menonjolkan semangat perpaduan kaum.

Empat kategori khas turut diperkenalkan iaitu Inovasi: JPKK Kampung Sepang Jaya, Teknologi: JPKK Kampung Sekinchan Site C, Kampung Terbersih: JPKK Kampung Stesen Kuang dan Kampung Terindah: JPKK Kampung Bagan Pulau Ketam

Pemenang Utama Peringkat Negeri iaitu Juara, JPKK Kampung Bagan Pulau Ketam (RM3,000) Naib Juara: JPKK Kampung Sekinchan Site C (RM2,000) dan tampat ketiga JPKK Kampung Baru Seri Setia (RM1,500)

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Amirudin menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk meneruskan usaha memodenkan Kampung Baru tanpa menjejaskan nilai tradisi dan warisan asalnya, melalui pendekatan pembangunan seimbang dan berpaksikan komuniti.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa Kampung Baru bukan sekadar warisan sejarah, tetapi mampu menjadi pemangkin kemajuan ekonomi negeri melalui inovasi dan kerjasama masyarakat,” katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan tayangan montaj perjalanan penilaian serta persembahan kebudayaan oleh Persatuan Kemasyarakatan Sepakat Hulu Selangor.

Program ini dijangka menjadi acara tahunan bagi mengiktiraf keunggulan Kampung Baru di Selangor dalam aspek pembangunan komuniti, inovasi, pelancongan dan kelestarian.