Pemuda AMANAH kecam MP PN hina Tugu Negara
Pemuda AMANAH hari ini mengecam kenyataan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan yang mempertikai bentuk Tugu Negara kononnya tidak menyerupai wajah askar tempatan, sebaliknya mirip tentera Eropah.
Exco Pemuda AMANAH Nasional, Azri Abdullah berkata kenyataan itu menunjukkan tahap pemikiran yang dangkal apabila monumen yang dibina bagi menghargai pengorbanan pahlawan negara dipersoalkan dari sudut rupa bentuk fizikal semata-mata.
“Tidak saya tahu dari mana datang idea sebegini. Dalam berpuluh-puluh tahun kewujudan Tugu Negara, siap pernah dibom pada tahun 1975, tak pernah ada manusia yang keluarkan pandangan sampah seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pemuda AMANAH Tangga Batu itu berkata, Tugu Negara adalah simbol penghormatan kepada wira-wira tanah air dan menjadi lokasi rakyat merasai semangat patriotism.
Malah, jelasnya, ketika rosak pada tahun 1975, rakyat sendiri menyumbang dana bagi membaikinya sekaligus bukti kecintaan masyarakat terhadap monumen tersebut.
“Bila ke Tugu Negara, orang akan teringat perjuangan yang dibayar dengan keringat, darah dan nyawa. Bukan kira hidung mancung ke tidak, bukan kira rupa macam orang mana,” sinisnya.
Azri turut membidas cubaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu yang mengaitkan Tugu Negara sebagai usaha ‘mendewa-dewakan’ pejuang asing.
“Takkan sebab saiz patung tu besar terus dianggap Eropah? Macam mana pemikiran begitu boleh terhasil? Ada penyakit hati barangkali,” katanya.
Dalam perbahasan yang sama, Kalam turut mempersoalkan usaha pemuliharaan bangunan warisan seperti Carcosa dan Bangunan Sultan Abdul Samad, walaupun projek tersebut mendapat sokongan dan sumbangan sektor swasta melalui Khazanah Nasional.
“Mungkin inilah jadinya bila parti dah berpecah, arah perjuangan pun tak tentu hala, dan dapat pula ahli Parlimen dengan hujah aneh-aneh begini,” kata Azri.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan wakil rakyat Bersatu tersebut bukan sahaja tidak masuk akal, malah memalukan institusi Parlimen.
“Ini bukan soal politik. Ini soal menghormati sejarah negara. Kalau perkara asas macam ini pun gagal difahami, sukar nak harapkan kepimpinan yang matang,” tegas Azri lagi.