AMANAH sasar 50% penyertaan wanita menjelang PRU16, RUU baharu menyusul

Satu rang undang-undang (RUU) baharu sedang dirangka Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) bagi mewajibkan parti politik menamakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada pilihan raya.

Ketua AWAN, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, inisiatif itu sedang dibangunkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Seterusnya, ia akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 11 November ini.

“Kita bukan sahaja perlukan peluang atau ruang, tetapi juga ekosistem.

“Kita sedang bekerjasama dengan beberapa NGO untuk mencadangkan satu pindaan atau pengenalan baharu RUU yang memberi ruang kepada wanita dalam parti-parti politik untuk memajukan diri dan menamakan lebih daripada 30 peratus calon,” katanya.

Datuk Aiman Athirah Sabu

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, akta baharu itu bagi memperkukuh dasar afirmatif yang masih gagal dicapai sejak hampir 30 tahun lalu.

Pada PRU15 lalu, jelasnya, calon wanita yang diketengahkan AMANAH berjumlah 26 peratus termasuk di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus peratusan tertinggi dalam kalangan parti komponen kerajaan.

Aiman Athirah berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional 2025, di Shah Alam hari ini.

Jelasnya, cadangan RUU itu merangkumi tiga komponen utama, iaitu dasar, akta yang mengikat parti politik serta skim insentif kepada parti yang berjaya mencapai sasaran kuota.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), katanya, fokus AMANAH kini tertumpu kepada usaha meningkatkan penyertaan wanita sehingga 50 peratus selaras dengan tema konvensyen tahun ini, ‘Wanita Negara Peneraju Perubahan’.

Dalam masa sama, beliau yakin pelaksanaan akta baharu itu akan mengubah landskap politik negara serta mengukuhkan ekosistem penyertaan wanita dalam arena kepimpinan dan pentadbiran.

BACA JUGA Dedahkan pelaku pencemaran Sungai Johor, AMANAH tuntut tindakan tegas