Dedahkan pelaku pencemaran Sungai Johor, AMANAH tuntut tindakan tegas
Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung insiden pencemaran Sungai Johor yang telah menjejaskan bekalan air hampir sejuta penduduk di Johor Bahru, Kulai, Skudai dan Kota Tinggi sejak hampir seminggu lalu.
Pengerusi Biro Alam Sekitarnya, Anis Afida Mohd Azli berkata, kejadian tersebut membuktikan kelemahan pengawasan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan pasir di kawasan sensitif sumber air negeri.
“Krisis ini jelas menunjukkan ada kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan.
“Rakyat menjadi mangsa, dan kehidupan mereka terjejas kerana kegagalan pihak berwajib memastikan sumber air kekal bersih, selamat dan terkawal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, AMANAH Johor menggesa Kerajaan Negeri melalui Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), selain agensi Persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak segera untuk memulihkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor, Semangar dan Linggiu.
“Laporan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan kejadian berpunca daripada pecahnya benteng kolam silt di tapak perlombongan pasir berhampiran Kota Tinggi yang meningkatkan kekeruhan air daripada 400 NTU kepada lebih 37,000 NTU,” jelasnya.
Berhak tahu
Dalam masa sama, AMANAH Johor dalam kenyataannya turut mendesak agar pihak yang bertanggungjawab didedahkan secara terbuka, tanpa perlindungan daripada mana-mana pihak.
“Rakyat berhak tahu siapa pelakunya. Ketelusan siasatan JAS, JMG, PTG dan JPS sangat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan alam sekitar kita,” tegas Anis Afida.
Parti itu turut menuntut tindakan tegas diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang kini telah dipinda pada tahun 2024, membolehkan denda maksimum RM10 juta dan hukuman penjara sehingga lima tahun dikenakan terhadap pesalah.
Selain itu, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) memperuntukkan bahawa pihak pencemar wajib menanggung kos penuh kerja pemulihan sumber air.
Malah, penguatkuasaan Enakmen Mineral Johor 2009 juga perlu dilaksanakan tanpa kompromi.
“Sungai ialah nadi kehidupan rakyat. Pencemarannya adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap hak rakyat untuk menikmati air bersih dan kehidupan yang sejahtera.
“Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan alam sekitar,” katanya lagi.
Insiden tersebut, tambahnya, harus menjadi isyarat penting bahawa model pembangunan negeri mesti disusun berasaskan prinsip kelestarian dan keselamatan sumber air jangka panjang.
BACA JUGA Walaun terdesak jaja suara ‘parti gagal’ Thailand buat modal serang kerajaan