Mahathir dan Dosa Politik Hipokrasi: Mengapa Anwar Masih Menjadi Sasarannya
Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya tidak pernah penat menabur syak wasangka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiap kali negara mencapai kemajuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10 itu, Mahathir akan tampil dengan naratif baharu – kononnya Malaysia kini “terikat dengan kuasa asing” atau sedang “menjadi mangsa penjajahan baharu” akibat hubungan baik kerajaan dengan Amerika Syarikat dan rakan antarabangsa lain.
Namun, sejarah tidak pernah menipu. Orang yang pernah mengupah pelobi asing untuk membuka pintu Rumah Putih demi bertemu Presiden Amerika, George W. Bush, kini menuduh Anwar sebagai agen kepada Barat.
Hakikatnya, tindakan Mahathir itu sendiri disahkan oleh bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menyatakan bahawa pendedahan Datuk Seri Najib Razak mengenai bayaran jutaan ringgit kepada firma pelobi adalah benar.
Pelobi yang dilantik ketika itu bermastautin di Hong Kong — langkah yang jelas memperlihatkan betapa Mahathir sanggup menggunakan khidmat asing bagi memperkukuh imejnya di Washington.
Hipokrasi Dalam Naratif “Penjajahan Baharu”
Ironinya, Mahathir yang kini bercakap tentang “kedaulatan negara” dan menuduh Anwar tunduk kepada kuasa luar, sebenarnya memiliki rekod panjang menggunakan jaringan antarabangsa demi kepentingan peribadinya.
Dalam pentadbirannya, Malaysia membayar jutaan ringgit kepada syarikat pelobi asing semata-mata untuk memperbaiki imej beliau di mata dunia selepas hubungan dingin dengan pentadbiran Clinton dan Bush. Adakah itu bukan bentuk ketundukan terhadap kuasa asing yang beliau sendiri kecam hari ini?
Lebih memalukan, Mahathir juga pernah mengutus surat kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu, dan Ehud Barak – antara 1993 hingga 1999.
Dalam surat kepada Barak, beliau mengucapkan tahniah atas kemenangan pilihan raya dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk “mewujudkan hubungan normal apabila keadaan mengizinkan.”
Bukankah itu bentuk pengiktirafan tidak langsung terhadap negara haram Israel – sesuatu yang beliau kini tuduh orang lain lakukan?
Apa yang lebih menyayat hati ialah bagaimana Mahathir selama ini digambarkan sebagai pembela Palestin dan penentang Zionisme.
Namun, surat-surat dan ucapan tahniahnya kepada pemimpin Israel jelas mendedahkan sisi gelap kepimpinannya — bertentangan dengan prinsip solidariti umat Islam sedunia yang tidak pernah mengizinkan sebarang bentuk pengiktirafan terhadap rejim zalim Israel.
Sikap ini amat mengecewakan masyarakat Islam di Malaysia dan dunia Islam seluruhnya, kerana ia mencalar maruah perjuangan rakyat Palestin yang dizalimi dan menunjukkan bahawa Mahathir sanggup bersekongkol dengan kuasa yang menindas demi kepentingan politik antarabangsa dirinya sendiri.
Bukankah tindakan itu suatu bentuk pengiktirafan terhadap pimpinan “syaitan Zionis” yang membunuh dan menindas anak-anak Palestin saban hari? Sedangkan dunia Islam, dari Ankara ke Rabat, dari Jakarta ke Doha, tidak pernah memberi ruang untuk mengiktiraf rejim haram tersebut.
Inilah hipokrasi yang paling tajam – seorang pemimpin yang berpidato lantang di pentas antarabangsa menentang Israel, tetapi dalam diam menghantar ucapan tahniah dan menjalin komunikasi diplomatik dengan pemimpin yang menodai Masjid Al-Aqsa.
Kepentingan Kuasa dan Serangan Politik Berulang
Serangan Mahathir terhadap Anwar bukanlah soal dasar luar semata-mata; ia adalah dendam politik lama yang tidak padam. Sejak 1998, Mahathir melihat Anwar sebagai ancaman terhadap legasi dan pengaruhnya.
Kini, apabila Anwar berjaya membina semula kekuatan negara melalui diplomasi berasaskan prinsip Malaysia Madani – memperkukuh hubungan antarabangsa tanpa menggadaikan kedaulatan – Mahathir tampil semula dengan retorik “penjajahan baharu” yang tidak lebih daripada cubaan mengelirukan rakyat.
Watak sebenar Mahathir terserlah sepanjang sejarah politiknya — seorang yang tidak akan pernah puas hati selagi apa yang diinginkannya tidak terlaksana. Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak tunduk kepada kehendaknya, beliau menjatuhkan Pak Lah.
Ketika Datuk Seri Najib Razak enggan menurut telunjuknya, beliau pula membantu menjatuhkan Najib. Kini, kerana Anwar tidak mahu menjadi boneka legasinya, Mahathir sekali lagi menyalakan api permusuhan. Begitulah Mahathir, walaupun usianya menghampiri seabad, masih tidak mampu menerima bahawa era penguasa mutlak telah berlalu.
Anwar tidak perlu menyewa pelobi untuk diterima di Washington atau Riyadh. Kepimpinannya yang berintegriti, berprinsip, dan berwawasan cukup untuk menjadikan Malaysia kembali dihormati di peringkat global.
Dalam era di mana hubungan antarabangsa berasaskan maruah dan kepentingan bersama, tuduhan Mahathir itu hanya menonjolkan keusangan pemikirannya – terperangkap dalam mentaliti lama yang menganggap semua hubungan dengan Barat sebagai bentuk penaklukan.
Kesimpulan: Dosa Lama yang Tidak Ditanggung
Mahathir harus menjelaskan dahulu tindakannya sendiri – daripada membayar pelobi asing, menulis surat kepada pemimpin Israel, hingga mengakui keterlibatannya dalam politik luar yang kontradiktif – sebelum menuduh orang lain menggadai kedaulatan negara.
Sejarah telah mencatat siapa sebenarnya yang mula-mula membuka ruang kepada kuasa asing, dan siapa pula yang kini cuba menebus maruah Malaysia dengan pendekatan diplomasi matang.
Anwar Ibrahim tidak menunduk kepada Amerika atau sesiapa. Beliau menunduk kepada prinsip – bahawa Malaysia yang berdaulat harus berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan mana-mana kuasa dunia.
Dan itulah yang Mahathir gagal fahami: bahawa zaman politik hipokrasi sudah berakhir. Yang tinggal hanyalah dosa sejarah yang kini terbuka luas di hadapan rakyat.