AMANAH tekad perkukuh perpaduan, sasar kejayaan PRN dan PRU-16
Parti Amanah Negara (AMANAH) komited memperkukuh perpaduan dalaman dan mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi siri pilihan raya negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), kata Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil.
Berucap dalam Konvensyen Nasional AMANAH 2025 di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam, Faiz berkata, parti kini memasuki tahun ke-10 penganjuran konvensyennya, yang menjadi medan muhasabah, penyusunan strategi dan penyegaran semangat perjuangan.
Menurutnya, dengan kekuatan lebih 200,000 ahli dan 185 kawasan berdaftar di seluruh negara, termasuk lima kawasan baharu seperti Cameron Highlands, Hulu Terengganu, Lahad Datu, Semporna dan Tawau, AMANAH terus membawa agenda politik khidmat, politik nilai dan politik progresif berteraskan prinsip rahmatan lil ‘alamin.
“Konvensyen ini bukan hanya rutin tahunan, tetapi ruang untuk kita menilai perjalanan parti dan mengatur langkah baharu.
“Kita bukan bergerak bersendirian, kita sebahagian daripada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan, iaitu Kerajaan MADANI,” katanya.
Dalam masa sama, Faiz menegaskan PRN Sabah yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat menjadi keutamaan, memandangkan AMANAH berhasrat meraih kerusi sulungnya di negeri tersebut.
“Walaupun cabaran besar menanti, kita yakin dengan iltizam dan semangat yang kuat, AMANAH mampu menempatkan diri kukuh dalam landskap politik Sabah.
“Saya menyeru sokongan seluruh anggota di seluruh negara bagi membantu memastikan kempen kita tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menyatakan persediaan rapi diperlukan bagi PRN di Johor, Melaka dan Sarawak bagi mencipta momentum menuju PRU-16, sekali gus mempertahankan Kerajaan MADANI dalam penggal akan datang.
“Keberhasilan di PRN menjadi asas kepada kejayaan lebih besar. Kita mahu memastikan dasar-dasar Kerajaan MADANI terus memberi manfaat kepada rakyat,” kata Faiz lagi.
BACA JUGA ‘Apa guna mereka berbangga dengan slogan Membangun Bersama Islam?’