‘Apa guna mereka berbangga dengan slogan Membangun Bersama Islam?’
Kejayaan kerajaan MADANI dalam usaha mengangkat kesejahteraan rakyat adalah pelaksanaan Islam dalam erti kata sebenar, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tanpa menyebut nama Pas, pelaksanaan Islam di bawah kerajaan MADANI sangat berbeza dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ yang hanya bersifat retorik apabila gagal memastikan kebajikan rakyat di negeri yang mereka tadbir.
Beliau berkata demikian dalam Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional AMANAH di Shah Alam pagi ini.
“Apa guna mereka berbangga dengan slogan itu jika rakyat di negeri mereka terus dihimpit kemiskinan, kekotoran, ketiadaan peluang pekerjaan dan kemunduran,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu juga menegaskan bahawa Kerajaan MADANI terus komited menoktahkan kemiskinan tegar dan memastikan rakyat yang memerlukan tidak terbiar tanpa bantuan.
Menurutnya, hasil usaha berterusan kerajaan, kadar kemiskinan tegar negara telah berjaya dikurangkan daripada 0.2 peratus kepada 0.09 peratus, dan diyakini dapat dihapuskan sepenuhnya dalam tempoh penggal pentadbiran semasa.
“Insya-Allah, dalam penggal pertama Kerajaan MADANI, tiada lagi rakyat Malaysia yang akan terbiar dalam kelaparan atau kegelapan hidup,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan juga menegaskan, legasi Almarhum Salahuddin Ayub dengan dasar Rahmah – Payung Rahmah, Menu Rahmah, Kedai Rahmah juga masih diteruskan.
“Nama Allahyarham sehingga kini kekal harum kerana perjuangannya berasaskan kasih kepada rakyat,” ujarnya.
Mohamad turut menekankan bahawa pelbagai bentuk bantuan tunai dan sokongan sosial seperti Bantuan Sara Hidup (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pangkalan data e-Kasih membuktikan pendekatan kerajaan MADANI adalah jelas untuk menjaga kesejahteraan rakyat.
“Semuanya menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI bukan retorik tetapi dibuktikan dengan tindakan.
“Itulah wajah Islam sebenar, memberi manfaat kepada manusia, bukan hanya slogan di pentas,” ujar Mohamad lagi.
BACA JUGA PM Anwar kembalikan hak Sabah, 9 dari 13 tuntutan MA63 diselesaikan