Kerajaan negeri usah mansuh HSK demi REE, elak mudarat jangka panjang
Oleh MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Sejak daripada era perlombongan bijih timah selepas Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) ditubuhkan, banyak kawasan berhutan ‘dikorbankan’ dan mula berlakunya krisis alam sekitar di Tanah Melayu.
Ketika itu, masih belum ada penubuhan kawasan perlindungan terutama Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Tanah Melayu.
HSK terawal di Tanah Melayu ditubuhkan pada 14 Januari 1898 iaitu Hutan Simpan (HS) Sungei Buloh, Selangor dan HS Swettenham Road, Taiping Perak.
Daripada semasa ke semasa, British telah menubuhkan banyak HSK di Tanah Melayu termasuk di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) dan Negeri-Negeri Selat (NNS).
Namun, kebanyakan penubuhan HSK tersebut tidak kekal lama.
Kajian kes di negeri Perak mendapati banyak kawasan HSK terpaksa dimansuhkan sama ada sebahagian mahupun keseluruhan yang kebanyakannya untuk tujuan perlombongan bijih timah dan pertanian.
Banyak kesan langsung yang dijangka berlaku apabila sesuatu kawasan HSK dimansuhkan untuk tujuan perlombongan unsur nadir bumi (REE) sama ada perlombongan secara konvensional atau secara in-situ leaching (ISL).
Antaranya, ialah kemusnahan kekal habitat flora dan fauna, pencemaran sumber air dan bercanggah dengan objektif Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) 2021.
Tindakan setiap Kerajaan Negeri memansuhkan sama ada sebahagian HSK termasuk Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang terletak dalam Rangkaian Central Forest Spine (CFS) untuk tujuan perlombongan REE adalah tidak wajar.
Ia dibimbangi boleh menimbulkan impak dan lebih banyak mudarat kepada alam sekitar dalam jangka panjang.
Berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984, ketika ini sumber mineral REE tidak ditafsirkan sebagai hasil hutan.
Cadangan meminda tafsiran dan mengiktiraf sumber mineral REE sebagai hasil hutan akan membuka ruang kepada memanipulasi dan mengeksploitasi kegiatan perlombongan REE untuk tujuan pembalakan.
Semua Kerajaan Negeri tidak harus berkompromi membenarkan kegiatan perlombongan REE terutama di KSAS Tahap 1 dan tidak ada kaedah terbaik mengawal apa sahaja kegiatan perlombongan di KSAS.
Belum terbukti
Teknologi in-situ leaching (ISL) belum benar-benar terbukti selamat ekoran isu perubahan warna air di Sungai Perak baru-baru ini yang didakwa antaranya berpunca daripada perlombongan REE.
Akta Perhutanan Negara 1984 tidak perlu dipinda bagi mentafsir dan ‘menghalalkan’ sumber mineral REE sebagai hasil hutan.
Hal ini memandangkan, akta sedia ada pun telah memberi ruang kepada lain-lain sumber mineral seperti bahan batuan di lombong / kuari dalam kawasan HSK.
Risiko jangka panjang terhadap HSK yang dimansuhkan sama ada sebahagian atau keseluruhan untuk tujuan perlombongan akan menimbulkan impak dan lebih banyak mudarat kepada alam sekitar.
Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bukanlah satu mekanisma terbaik untuk menangani impak dan mudarat daripada kegiatan perlombongan REE kepada alam sekitar kerana objektif penyediaannya hanya untuk meminimumkan impak sahaja.
Realitinya sebagai contoh, langkah-langkah mitigasi dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang terkandung dalam laporan EIA tidak mampu menangani isu kemusnahan habitat flora dan fauna.
Setakat ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) tidak mampu melakukan pemantauan terhadap kegiatan perlombongan sama ada perlombongan REE mahupun perlombongan mineral yang lain kerana kekangan terhadap kekurangan kakitangan penguatkuasaan.
*MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN merupakan Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia.
BACA JUGA PM Anwar kembalikan hak Sabah, 9 dari 13 tuntutan MA63 diselesaikan