PRN Sabah: Pelancaran Jentera BN esok
Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan diadakan di Sutera Harbour Kota Kinabalu, Sabah pada jam 2.30 petang esok.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bersidang hari ini membincangkan persiapan akhir bagi menghadapi PRN Sabah ke-17.
Menurutnya, mesyuarat sama turut membincangkan kerjasama dimuktamadkan bersama Pakatan Harapan (PH) dan penetapan pembahagian kerusi yang sudah disepakati.
“Mesyuarat juga menetapkan kepentingan rakyat Sabah dan negara dipelihara serta meneruskan tradisi kestabilan dan pembangunan yang menunjangi perjuangan BN selama ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor mengesahkan tiada pertembungan kerusi dengan PH pada PRN Sabah Ke-17.
Timbalan Presiden UMNO itu dipetik berkata, pertembungan pasti tidak akan berlaku antara dua parti menganggotai Kerajaan MADANI walaupun masih terdapat perbincangan dalam BN berkenaan kerusi akan ditandingi.
Sebanyak 1,779,839 pemilih berdaftar layak membuang undi pada 29 November ini, manakala tarikh penamaan calon pada 15 November serta pengundian awal pada 25 November.
BACA JUGA Dah lama rupanya PM Anwar impikan Masjid MADANI Permatang Pauh