Waytha minta maaf pada PM Anwar
Pengerusi Parti Pembangunan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa dia ada niat tersembunyi di sebalik keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara.
“Saya secara silap menyatakan (Anwar) tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) kerana dia sebelum ini pernah memberikan penghakiman melibatkan (Anwar) dalam kes di Mahkamah Rayuan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada saya sebelumnya.
“Namun, selepas menyemak rekod rasmi kehakiman pagi ini, saya mendapati bahawa (Tengku Maimun) tidak pernah menjadi sebahagian daripada mana-mana panel hakim dalam kes rayuan (Anwar),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) berkenaan turut memohon maaf kepada Tengku Maimun.
Menurutnya, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengakui kenyataannya itu “tidak benar” dan berlaku akibat “kesilapan tanpa niat buruk” di pihaknya.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada (Anwar) atas kesilapan fakta ini serta sebarang salah faham atau persepsi negatif yang mungkin timbul terhadapnya akibat kenyataan saya,” katanya.
Waytha turut menyuarakan harapan agar mereka yang merakam atau menyiarkan kenyataannya akan memadam kandungan tersebut bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai tahun ini sebelum bersara wajib.
BACA JUGA AMANAH tekad perkukuh perpaduan, sasar kejayaan PRN dan PRU-16