Anwar kritik pemimpin tiba-tiba jadi ‘hero’ menjelang PRN Sabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap segelintir pemimpin yang cuba menjadi hero ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau mempersoalkan di mana pemimpin-pemimpin itu ketika mereka berkuasa dahulu, mengapa tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Tambahan ini musim PRN Sabah, bertempur…semua jadi hero-hero belaka. Kalau betul hero, di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi menteri dan penguasa? 

“Mengapa hal-hal yang kamu sebut itu tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya ketika berucap dalam Program Rancakkan Madani Sabah.

Beliau juga membidas pihak-pihak yang secara tiba-tiba melaungkan hak rakyat, hak negeri, sedangkan ketika berkuasa tidak langsung memikirkan semua itu.

“Sekarang ada yang tiba-tiba laung ‘hak rakyat, hak negeri’. Masa ada kuasa, ke mana hak itu? Kuasa bukan untuk ‘hak aku, hak isteri aku, hak anak aku’. Kuasa mesti digunakan untuk bela rakyat,” ujarnya.