Isu hak 40 peratus Sabah: Ewon umum letak jawatan dalam Kabinet
Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam isu hak 40 peratus Sabah.
Ewon berkata, pendirian AGC dalam penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap kes Semakan Kehakiman oleh Sabah Law Society, menunjukkan jabatan itu telah ‘mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia dan syarat asal penyertaan Sabah ke dalam Malaysia’.
Katanya, adalah janggal untuknya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC seperti itu yang menurutnya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO.
“Dengan ini, saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Ewon berkata, beliau kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut.
Beliau telah mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tersebut dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
“Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan.
“Namun berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di mahkamah sepertimana dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu,” ujarnya lagi