Jangan jadikan negara tempat mabuk kuasa – Sultan Nazrin titah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar negara tidak dijadikan medan sengketa atau tempat berpesta bagi mereka yang mabuk kuasa.
Baginda menegaskan, segala perbuatan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian antara kaum wajib ditentang secara tegas.
Malah, usaha menyatukan penduduk pasti berdepan halangan besar apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang memilih untuk mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah.
“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa atau tempat berpesta bagi mereka yang mabuk kuasa.
“Merdeka itu bakal hancur makna apabila lidah sebahagian rakyat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-69 baginda di Istana Iskandariah hari ini.
Baginda bertitah, tindak tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi, dibimbangi akan membawa kerugian besar sedangkan masih banyak perkara perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat yang hidup daif dan kemiskinan.
Titah baginda, rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik.
“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan sumber kekayaan ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif.
“Sebarang suara, tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang aman, harmoni dan makmur,” titah baginda.