Pemain bola negara jiran dakwa kena ‘pau’ polis, PDRM buka kertas siasatan

Semalam tular satu video seorang pemain bola dari negara jiran yang cuba memburukkan anggota polis negara ini, dengan mendakwa pasukan penguatkuasa itu kononnya meminta wang daripadanya.

Ia telah mencetuskan kemarahan orang ramai selepas tersebar di media sosial.

Susulan itu pihak polis mengesahkan bahawa satu siasatan kini sedang dijalankan bagi menyiasat kesahihan video yang tular itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata, hasil siasatan awal mendapati rakaman dibuat semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terhadap sebuah kenderaan.

“Pemeriksaan dilakukan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan. Semua individu yang diperiksa dilepaskan selepas pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azlan berkata, siasatan turut mendapati wujud satu lagi video yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan mengaibkan anggota polis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan atau tuduhan melulu yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menimbulkan kekeliruan awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap PDRM.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil memberikan kerjasama kepada polis melalui talian 03 7862 7100 (Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BACA JUGA Tular pekeliling pinjaman RM200,000 untuk kereta baru MB, Speaker, Exco, ADUN Terengganu