Jualan runcit dan borong melonjak, keyakinan pengguna makin pulih
Oleh NAZRI HAMDAN
Perbelanjaan pengguna di Malaysia melonjak pada September dengan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus tahun ke tahun, kadar tertinggi sejak Julai 2024, menurut data Jabatan Perangkaan (DOSM).
Lonjakan ini menunjukkan rakyat mula berbelanja semula, mungkin kesan daripada bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membantu menaikkan jualan di pasar raya, kedai runcit, dan pasar mini.
Bahagian borong pula catat RM71.1 bilion, naik 6.9 peratus disebabkan peningkatan jualan petrol, baja dan produk pertanian.

Bahagian runcit naik 7 peratus kepada RM68.9 bilion, dan sub-sektor kenderaan bermotor pun naik 4.3 peratus dengan nilai jualan mencecah RM18 bilion, tanda sektor automotif dan pembaikan kenderaan masih rancak.
Menariknya, jualan dalam talian juga meletup naik 9.5 peratus, banyak dipacu oleh jualan mega 9.9 yang jadi trend setiap tahun.
Kenaikan mendadak ini menunjukkan walaupun inflasi masih menghimpit, keyakinan pengguna makin pulih dan mereka mula kembali berbelanja.
Akan tetapi dalam masa sama, kena ingat, kadar ini juga boleh jadi cerminan harga barang naik dan bukan semata-mata “kuasa beli bertambah”.
Dalam bahasa mudah, ekonomi runcit kita tengah bernafas lega, tetapi kalau nak kekal sihat, kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ini bukan sekadar berpaksikan bantuan sementara.
Sebaliknya, ia disokong dengan peningkatan pendapatan isi rumah yang lebih stabil.
BACA JUGA 40% hasil: Rundingan Persekutuan – Sabah akan dipercepat selepas kerajaan negeri baharu dibentuk