Inilah punca utama Konvensyen AMANAH jadi kecoh

Oleh ADESYAM NOR

Ramai yang tanya saya — kenapa Konvensyen AMANAH baru-baru ini kecoh?

Terus-terang, ramai dah tulis tentang hal ni. Sebagai Setiausaha Akhbar Presiden, saya tak nak komen sebab apa juga yang saya cakap nanti boleh dianggap pendirian Presiden.

Tapi oleh sebab ada yang rasa saya “mengelak”, hari ini saya nak kongsi pandangan saya sebagai ahli biasa, bukan dalam kapasiti rasmi.

Saya hadir kesemua konvensyen parti sebelum ni, sebagai petugas media. Tugas saya – pastikan semua urusan teknikal dan liputan siaran langsung berjalan lancar.

Namun, kali ini saya hadir sebagai pemerhati, duduk di tempat wartawan.

Jujur saya kata, saya agak kecewa dengan insiden kekecohan itu sebab sebenarnya ia boleh dielakkan.

Dari tempat saya duduk, saya nampak dengan jelas siapa yang cuba panaskan keadaan dan siapa yang bagi isyarat supaya perwakilan bangun bercakap.

Tidak perlu saya sebut nama, tapi cukup saya katakan — semuanya jelas dari pandangan saya.

Malah, ada wartawan tunjuk gambar pada saya dan tanya siapa orang dalam gambar itu.

Maksudnya, kalau wartawan pun perasan, memang nampak sangat kekecohan itu seolah-olah dirancang. Orang Melaka kata – tak clean buat kerja.

Banyak persoalan

Yang peliknya, Speaker sendiri mengaku dia matikan telefon malam sebelum kejadian dan tidak jawab panggilan sesiapa.

Dia juga akui tindakannya membenarkan perbahasan “usul yang hanya diterima sebagai cadangan” itu salah, tapi dia teruskan juga.

Tindakan Speaker ini memang menimbulkan banyak persoalan. Ramai perwakilan mula persoalkan kewibawaan beliau uruskan Konvensyen.

Bagi saya, punca utama kekecohan ialah kelemahan Speaker dalam mengurus keadaan. Jadi, tidak hairan apabila ada perwakilan nak bawa usul tergempar untuk tukar Speaker.

Saya nak jelaskan — saya menegur Speaker secara terbuka ini bukan sebab saya benci dia. Saya tiada sebarang masalah peribadi dengan beliau.

Saya cuma kritik keputusan yang dibuat, bukan orangnya. Dalam parti, kita mesti boleh menegur apabila ada keputusan yang kita rasa silap. Itu tanda sayang pada parti, bukan tanda permusuhan.

Kena ingat, mesyuarat Jawatankuasa Usul malam sebelum Konvensyen sudah bincang dua usul — satu nak teruskan pemilihan tahun depan, satu lagi nak tangguhkan.

Kedua-dua diterima sebagai cadangan, bukan untuk dibahas. Alasannya mudah — kalau dibahaskan, suasana boleh jadi tegang dan mencalarkan imej parti.

Bukan rahsia

Malangnya, Speaker tidak ikut keputusan Jawatankuasa Usul. Dia kata nak tunjuk sikap demokratik dengan membenarkan perwakilan berbahas.

Datuk Seri Dr Hatta Ramli yang mempengerusikan Jawatankuasa Usul bukan sehari dua dalam dunia kepartian. Dia tidak buat keputusan sendiri, semua dibuat melalui mesyuarat dengan ahli JK Usul.

Lagi satu, bukan rahsia dah — gerakan nak tukar kepimpinan AMANAH ini sudah lama digerakkan, sejak pemilihan lepas.

Tak salah nak buat perubahan, tapi kalau salah langkah, parti boleh berpecah dan makin lemah. Luka dari pemilihan lepas pun belum sembuh sepenuhnya sampai sekarang.

Sebab itu saya rasa keputusan JK Usul kali ni sangat bijak — mereka baca situasi dengan matang.

Pengajaran daripada semua ini: Sepertimana yang Haji Khalid Samad cakap — jangan bersangka buruk sesama kita. Itu semua mainan syaitan. Nak bertahan 10 tahun bukan mudah, tapi nak runtuhkan sekejap saja boleh buat.

Percayalah, cepat atau lambat, kepimpinan parti akan berganti juga nanti.

Yang penting, kita fikir elok-elok — nak pilih pemimpin macam mana nanti? Yang keras dan memecah-belah, atau yang menenangkan dan menyatukan?

Tepuk dada, tanya selera.

BACA JUGA Teo jawab Fadhli: ‘Kalau kami ambil tindakan, pembangkang akan tuduh kerajaan tak hormat media’