Mahathir lupa siapa yang mula-mula koyakkan ‘kain payung’ Melayu

Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengenai konsep ‘Payung Besar’ dan megaitkan dengan perpecahan orang Melayu mengundang sindiran dan kecaman meluas daripada netizen hari ini.

Ramai pengguna media sosial menyifatkan tulisan pemimpin berusia 100 tahun itu sebagai cerminan kepada kesilapan dan kegagalannya sendiri dalam menyatukan politik Melayu, malah menjadi punca utama kepada perpecahan yang berlaku.

Menjengah ruangan komentar di platform X atas nama Mahathir, seorang pengguna menulis, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu seolah-olah lupa sejarah politiknya sendiri apabila pernah menubuhkan beberapa parti baharu selepas meninggalkan UMNO.

“Siapa yang mula-mula keluar UMNO dan tubuh parti baru kononnya nak ‘selamatkan Melayu’? Tubuhkan Bersatu. Lepas tu Pejuang. Lepas tu GTA (Gerakan Tanah Air). Semuanya hasil tangan Tun sendiri. Dari satu payung ke satu payung, Tun yang potong kainnya sampai koyak rabak,” tulis seorang pengguna X.

Kepentingan peribadi

Seorang lagi menyindir, tulisan Mahathir tentang perpecahan Melayu tidak lain hanyalah refleksi kepada tindakannya sendiri yang berkali-kali memecahkan kekuatan politik Melayu demi kepentingan peribadi.

“Tun satu-satunya punca sebenar segala perpecahan ini. Parti asal yang Tun terajui berpuluh tahun pun diabaikan, buat pula parti baharu bila dah nak tenggelam. Bila Tun tulis pasal payung besar, cerminlah diri sendiri dulu,” tempelaknya.

Ada juga yang secara sinis mengingatkan bahawa Mahathir sendiri pernah bernaung di bawah gabungan besar Pakatan Harapan (PH) iaitu ‘payung besar’ yang kini ditentangnya.

“PH tu payung besarlah. Ada seorang nama Mahathir pun pernah bernaung di bawah payung tu. Tapi sebab dia dah tua dan selalu menyibuk, akhirnya dia sendiri koyakkan payung tu,” tulis seorang lagi netizen.

Terdahulu, Mahathir menerusi tulisannya bertajuk ‘Payung Besar’ antara lain berkata, payung besar yang bertujuan menyatukan orang Melayu tidak dapat dipenuhi.

Akibatnya, dakwa pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pejuang itu, perpecahan orang Melayu.

“Sama seperti orang Melayu berpecah kerana parti politik yang banyak. Dengan adanya beberapa payung besar maka bukan perpaduan yang berlaku tetapi perpecahan,” tulisnya.

Untuk rekod, Mahathir dilihat penganalisis sebagai punca perpecahan politik Melayu apabila dikaitkan dengan perpecahan dalaman UMNO sehingga membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988.

Mahathir juga menubuhkan Bersatu pada 2016 selepas keluar UMNO diikuti pada 2020, beliau mengasaskan penubuhan Pejuang.

Seterusnya pada 2023, Mahathir dikaitkan dengan gagasan Putra serta Gerakan Tanah Air (GTA).

Malah, Mahathir menyebabkan PH kehilangan kerajaan apabila meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020 sekaligus seluruh Kabinet automatik terbubar.

BACA JUGA Dua ‘Wan’ ini terus serang Azmin, Bersatu makin parah isu video