Teo jawab Fadhli: ‘Kalau kami ambil tindakan, pembangkang akan tuduh kerajaan tak hormat media’
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching membidas cadangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap Malaysiakini, berhubung dapatan portal itu bahawa banyak akaun media sosial palsu dicipta untuk menaikkan populariti Perdana Menteri.
Teo membalas kepada Ahmad Fadhli dengan menyatakan jika kerajaan mengambil tindakan, pasti pembangkang akan menggunakan kesempatan itu untuk menyerang kerajaan kononnya tidak menghormati kebebasan media.
“Kalau kerajaan ambil tindakan panggil MalaysiaKini untuk rekod kenyataan, saya percaya sebelah sana (pembangkang) akan berdiri dan tuduh kerajaan kerana tak hormat kebebasan media.
“Inilah perbezaan kerajaan ini dengan pihak sana,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Lagi pula kata Teo, Meta telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak mengesan sebarang aktiviti tidak normal membabitkan akaun-akaun yang didakwa palsu itu.
Syarikat induk Facebook itu turut mengesahkan bahawa 263 akaun yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini sebagai akaun palsu, sebenarnya adalah akaun tulen.
“Dalam kes ini Meta pun sudah keluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa tak ada aktiviti abnormal, jadi saya rasa kita perlulah menerima kenyataan tersebut.
“Saya rasa pendirian Kerajaan MADANI yang selalu diulangi PMX ialah kita menghormati kebebasan media. Jadi walaupun ada artikel yang kandungannya kita agak tidak bersetuju, kita menyatakan pendirian kita..
“…dan tak semestinya setiap kali ada isu kita perlu panggil mereka untuk rekod kenyataan. Saya rasa itulah perbezaan paling besar antara kerajaan dengan pembangkang,” katanya.
Terdahulu Ahmad Fadhli bertanya kepada timbalan menteri, mengapa MalaysiaKini tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Beliau berpendapat portal terbabit perlu diambil tindakan kerana menyebarkan perkara tidak benar.
BACA JUGA “Rakyat susoh ni…” – Penduduk Kelantan pasang kain rentang protes air tak ada