Pemimpin Sabah sambut baik keputusan Putrajaya, seru rakyat percaya Kerajaan MADANI

Pemimpin Sabah memberi reaksi positif terhadap keputusan terbaru Kerajaan Persekutuan yang tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyeru agar rakyat negeri itu meletakkan kepercayaan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan MADANI.

Menurut Bernama, keputusan itu bukan sahaja menunjukkan penghormatan terhadap hak perlembagaan Sabah, malah menzahirkan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri.

“Saya menggesa rakyat Sabah untuk meletakkan keyakinan terhadap Perdana Menteri kita dan kerajaan Perpaduan ini, yang berulang kali menunjukkan usaha tulusnya untuk membantu membangunkan dan melindungi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam, Pejabat Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil untuk Sabah.