ADUN Pas dikecam selepas hina pengundi Sabah kempen beri roti Gardenia

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Kedah mencetuskan kontroversi apabila kenyataannya yang dilihat menghina pengundi Sabah tular di media sosial.

Adun Kuala Ketil, Mansor Zakaria dalam sidang DUN semalam antara lain berkata, “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja”.

Wakil rakyat Pas berkenaan berkata demikian ketika menjawab kritikan terhadap kerajaan negeri Kedah berhubung isu kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah itu kemudiannya memacu kecaman orang ramai termasuk rakyat Sabah.

Kenyataan Mansor itu dibuat ketika Pas sedang menyasarkan kemenangan sulung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Rata-rata menyifatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan sebagai keterlaluan kerana memperlekeh orang lain.

“ADUN Kedah pasal Belanjawan 2026 tak tahu, gelakkan orang mati kemudian pandang rendah pada orang Sabah pula? Kualiti jenis apa ni wakil rakyat dari PN?

“Kau tu bagus sangat ke sampai nak hina orang Sabah?

“Kenapa Pas ni terlalu jahat hati pedalnya?” demikian antara kecaman dan sindiran warga maya.

BACA JUGA PM Anwar perjelas punca rayuan dibuat terhadap alasan penghakiman dalam kes tuntutan 40% hasil Sabah