AMANAH Johor nyatakan hasrat bertanding kerusi Parlimen Pagoh
AMANAH Johor menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Parlimen Pagoh sekiranya berlaku sebarang kekosongan atau bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Naib Pengerusinya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, kesediaan ini bukan sekadar simbolik politik, tetapi menggambarkan komitmen AMANAH Johor untuk mengembalikan semangat politik baharu di kawasan yang sekian lama dikuasai oleh politik lama dan retorik perkauman.
Beliau melihat bahawa keterbukaan dan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana, Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi petunjuk bahawa arus perubahan sedang berlaku di Johor, termasuk di Pagoh.
“AMANAH percaya rakyat Pagoh kini mahukan pemimpin yang bekerja untuk rakyat, bukan pemimpin yang menggunakan rakyat untuk kepentingan politik peribadi.
“Oleh itu, AMANAH Johor sedang memperkukuh jentera parti, khususnya di peringkat akar umbi dan kawasan Pagoh, termasuk melalui program kebajikan, pendidikan politik, serta penglibatan langsung bersama masyarakat setempat bagi memahami keperluan dan aspirasi rakyat di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.
Kerusi Parlimen Pagoh telah lima tahun dipegang Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
BACA JUGA PM ‘sekolahkan’ Takiyuddin isu Pemberian Khas 40 peratus Sabah