AMK Sabah kecam kenyataan biadab ADUN PN
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah tampil mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dari Kedah yang didakwa menghina rakyat Sabah dengan mengatakan bahawa “Orang Sabah kempen dia bagi roti Gardenia ja.”
Menerusi kenyataan hari ini, AMK Sabah menyifatkan ucapan pemimpin Pas itu mencerminkan sikap angkuh, tidak berakhlak dan tiada rasa hormat terhadap rakyat di negeri tersebut.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus, berkata kenyataan tersebut bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Sabah, malah menunjukkan sikap angkuh dan tidak beradab seorang wakil rakyat yang sepatutnya memikul amanah menjaga perpaduan nasional.
“Rakyat Sabah adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia yang bermaruah, berpendidikan dan menyumbang besar kepada kemajuan negara.
“Kenyataan sebegini memperkukuh stereotaip negatif serta berpotensi menimbulkan rasa terhina, marah dan terpinggir dalam kalangan masyarakat Sabah yang telah lama menunjukkan kesetiaan dan komitmen terhadap pembangunan negara,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial kenyataan biadab Adun Kuala Ketil, Mansor Zakaria dalam sidang DUN Kedah pada 12 November lalu yang antara lain berkata, “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja”.
Wakil rakyat Pas berkenaan berkata demikian ketika menjawab kritikan terhadap kerajaan negeri berhubung isu kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah itu kemudiannya mengundang kecaman orang ramai terutamanya rakyat Sabah.
Rasa hormat
Mengulas lanjut, Nur Hilmie yang juga Exco AMK Malaysia berkata, ucapan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang wakil rakyat yang diamanahkan untuk menjaga keharmonian dan perpaduan nasional.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada setiap wakil rakyat bahawa tanggungjawab mereka bukan sekadar membangunkan ekonomi dan fizikal negeri, tetapi juga memupuk perpaduan, rasa hormat dan keharmonian antara wilayah serta kaum, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemanusiaan dan saling menghargai.
“AMK Sabah tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana bentuk penghinaan atau perlecehan terhadap rakyat Sabah.
“Kami menyeru seluruh anak muda Sabah untuk terus bersuara, bangkit dan mempertahankan maruah negeri ini daripada dijadikan bahan sindiran politik murahan oleh mana-mana pihak.
“Kami juga menyeru agar budaya politik matang dan beradab kembali menjadi asas dalam wacana nasional iaitu politik yang menyatukan, bukan menghina; politik yang membina, bukan memperlekeh.
“Cukuplah penghinaan terhadap rakyat Sabah. Kami rakyat Sabah berdiri teguh, bermaruah dan tidak akan tunduk kepada politik sempit yang memperkecilkan negeri kami,” kata Nur Hilmie lagi.
BACA JUGA ‘Ring ring’, ‘diplomasi penelefonan’ terus pacu komitmen damai Thailand–Kemboja